Keunikan gubahan ‘bunga infiniti’ tonjol kreativiti Lim Shou Xian

GUBAHAN bunga biasanya lebih sinonim dengan golongan wanita. Namun begitu, ia agak berbeza bagi Lim Shou Xian, 27, yang memiliki kemahiran menggubah pelbagai jenis bunga yang diawet (preserved flower) untuk dijadikan perhiasan rumah atau cenderahati.

Bermula dari sekadar hobi, pemilik perniagaan Blissful Flora ini mengambil keputusan untuk mengembangkan bakatnya dengan memulakan perniagaan gubahan bunga yang diawet secara serius sejak setahun lalu.

Pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang Pengurusan Hospitaliti dari institusi pengajian tinggi di Taiwan itu memberitahu bahawa minat terhadap gubahan bunga adalah datangnya daripada ibu beliau sendiri.

Antara produk yang dihasilkan.

“Saya mula mempelajari teknik gubahan bunga apabila sering melihat ibu melakukannya sebagai hobi untuk memenuhi masa lapang.

“Selepas tamat belajar pada 2016, saya mula bekerja di Taiwan dan mengambil kelas gubahan bunga selama setahun bagi meningkatkan lagi teknik dan kemahiran yang ada.

“Saya memilih bunga yang diawet sebagai bahan asas bagi semua produk kraftangan yang saya hasilkan kerana bunga ini mempunyai keunikan tersendiri,” ujarnya mesra ketika ditemui Buletin Mutiara baru-baru ini.

Shou Xian berkata, semua jenis bunga yang digunakan untuk menghasilkan produk adalah diimport khas dari Jepun.

Lebih 20 jenis bunga yang digunakan Shou Xian untuk menghasilkan produk kraftangannya seperti bunga Mawar, Dahlia, Jasmin, Orked, Baby Breath serta banyak lagi.

“Bunga-bunga yang diawet ini memang diimport khas dari Jepun dan digubah di sini kerana di Malaysia ketika ini masih tidak ada bunga jenis ini.

“Harga bunga yang diawet agak mahal kerana ia mampu tahan kira-kira lima atau enam tahun,” ujarnya lagi.

Lin Shou Xian menunjukkan salah satu teknik gubahan bunga yang diawet.

Katanya lagi, harga bagi setiap produk yang dihasilkan adalah bergantung kepada jumlah dan jenis bunga selain teknik yang digunakan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Difahamkan, terdapat sesetengah produk yang dihasilkan Shou Xian boleh mencecah sehingga ratusan ringgit.

“Biasanya harga yang saya kenakan antara RM40 hingga lebih seratus ringgit bergantung kepada jumlah bunga dan teknik yang digunakan.

“Bagaimanapun, produk paling mahal yang pernah saya hasilkan setakat ini adalah gubahan bunga tangan kerana jumlah bunga digunakan agak banyak selain memerlukan dua teknik berlainan yang agak sukar,” jelasnya.

Katanya, beliau mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM500 sebulan hasil gubahan bunga yang diawet walaupun berdepan kesukaran akibat pandemik COVID-19 ketika ini.

“Ia tidak termasuk hasil jualan produk-produk lain seperti gubahan bunga tiruan dan bunga segar, cenderahati dan lain-lain,” ulasnya lagi.

Tambah Shou Xian, setiap produk yang dihasilkan memerlukan masa kira-kira empat hingga lima jam untuk disiapkan.

Bunga-bunga yang diimport khas dari Jepun.

“Apabila ada tempahan daripada pelanggan, saya akan beri peluang kepada mereka untuk memilih jenis bunga yang diinginkan dan saya akan membantu mereka daripada segi reka bentuk.

“Sekarang ini memandangkan berlaku penularan pandemik COVID-19, saya mula mengambil tempahan dan memasarkan produk melalui dalam talian,” katanya lagi.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan gubahan ‘bunga infiniti’ yang unik ini boleh datang sendiri ke Blissful Flora, beralamat di 2A, Tingkat Atas, Lorong Sintar Indah 1, Taman Sintar Indah, Jawi atau hubungi talian : 012-5199 282.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD