Kg. Rawa FC juara Piala Sumbangsih 2023, tahniah FAP selaku penganjur – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri bergambar dengan juara Piala Sumbangsih FAP 2023 iaitu Kelab Bola Sepak Kampung Raya di Stadium Bandaraya di sini pada 18 Jun 2023.

GEORGE TOWN – Kelab Bola Sepak Kampung Rawa atau Kg. Rawa FC menjuarai Piala Sumbangsih FAP 2023 selepas menewaskan Kelab Sukan Rifle Rangers, 2-0 dalam saingan akhir di Stadium Bandaraya di sini pada malam ini (18 Jun 2023).

 

KETUA Menteri

Sebelum acara penyampaian hadiah kepada pemenang serta sesi cabutan bertuah, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) kerana berjaya menganjurkan sekali lagi saingan bola sepak tersebut di sini.

“Ini merupakan tahun kedua FAP mengelolakan acara sedemikian, setelah terhenti lebih kurang lima (5) tahun sebelum ini.

“Syabas dan tahniah kepada FAP atas gerak kerja berterusan sebagai salah satu usaha kita dalam membangun dan membangkitkan kegemilangan sukan bola sepak negeri ini,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

ACARA penyampaian hadiah utama sesi cabutan bertuah berupa sebuah motosikal di sini tadi.

Presiden FAP, Mohd. Azizudin Mohd. Shariff; Timbalan Presiden FAP, Lau Keng Ee; barisan Ahli Majlis Persatuan tersebut serta para penaja Liga FAP turut menyertai majlis penyampaian hadiah Piala Sumbangsih FAP 2023.

Di samping itu, Kon Yeow berkata pihaknya menyifatkan perlawanan bola sepak pada malam ini adalah penting sebagai pembuka tirai pada liga-liga tempatan bagi tahun 2023.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu bahawa pentadbirannya melalui agensi berkaitan seperti Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) akan terus komited dalam usaha memperkasa kembali industri sukan perdana negeri itu.

“Pulau Pinang melahirkan lagenda bola sepak yang pernah mengharumkan nama sehingga ke pentas antarabangsa.

“Justeru, dengan platform sebegini, diharapkan kita mampu melahirkan lebih ramai pelapis bagi meneruskan kegemilangan barisan lagenda kita seperti Isa Bakar, Ali Bakar, Datuk Shukor Saleh dan ramai lagi,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Difahamkan, perlawanan malam ini adalah antara juara Liga Divisyen 1 FAP ❤️PENANG 2022 iaitu Kampung Rawa FC dan juara Liga Divisyen 2 FAP Redone 2022 iaitu Kelab Sukan Rifle Rangers.

Kg. Rawa FC yang menjuarai Liga Divisyen 1 FAP ❤️PENANG membawa pulang wang tunai RM7,000 beserta piala iringan dan piala pusingan.

Manakala Kelab Sukan Rifle Rangers yang menjuarai Liga Divisyen 2 FAP Redone 2022 membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta piala iringan dan piala pusingan.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD