Khatan Perdana kumpul 120 kanak-kanak Penaga

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

SEBAHAGIAN kanak-kanak yang menyertai Program Khatan Perdana menanti dengan penuh debar saat untuk dikhatankan.
SEBAHAGIAN kanak-kanak yang menyertai Program Khatan Perdana menanti dengan penuh debar saat untuk dikhatankan.

PENAGA – Pusat Khidmat Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penaga dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) KADUN Penaga telah menganjurkan Program Khatan Perdana 2011 Peringkat Parlimen Kepala Batas di sini baru-baru ini.

Pegawai Penyelaras KADUN Penaga, Rosidi Hussain berkata, program yang bertempat di Dewan Banjir Rantau Panjang itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan beliau bercadang untuk menjadikan program tersebut sebagai program tahunan bagi Parlimen Kepala Batas.

“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan. Semangat gotong-royong dan kerjasama yang ditonjolkan sangat memberangsangkan dan alhamdulillah inilah yang saya harapkan.

“Pada masa sama, ucapan terima kasih juga kepada Ketua Menteri yang telah menaja program ini,” katanya ketika merasmikan di sini baru-baru ini.

Program yang disertai lebih 120 kanak-kanak ini turut melibatkan lima pasukan paramedik yang diketuai oleh Hasbullah Abu Hassan dan Dr. Hassan Ahmad. Dianggarkan sejumlah 500 individu turut sama dalam majlis yang julung kalinya diadakan di Parlimen Kepala Batas tersebut.

Selain itu, dalam majlis yang sama, penyerahan cek zakat kepada penduduk di KADUN Penaga yang daif turut diadakan. Majlis dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Pusat Urusan Zakat Negeri Pulau Pinang, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.