Khayla Adha Mirza, pesakit tulang rapuh terima bantuan perubatan ZPP – TKM1

Admin
cf0c062f 9963 4f92 878a 068ee8a24f54 MOHAMAD Abdul Hamid (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan Zakat Pulau Pinang (ZPP) kepada waris Khayla Adha Mirza Imran di kediaman mereka dekat Taman Pauh Jaya di sini pada 22 Mei 2024.

SEBERANG JAYA – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui anak syarikatnya, Zakat Pulau Pinang (ZPP) menyampaikan bantuan tanpa tunai RM2,000 sebulan selama setahun kepada pesakit Osteogenesis Imperfecta (OI) atau penyakit tulang rapuh, Khayla Adha Mirza Imran, 8.

Penerima turut menerima sumbangan zakat sebanyak RM30,000 setahun secara sekali bayar (one-off) untuk membiayai kos perubatannya.

659bc081 c5cd 48a7 b28e a9bd795ac4b2
MOHAMAD Abdul Hamid

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Yang Dipertua MAINPP memberitahu perkara itu selepas menziarahi keluarga Khayla Adha Mirza di Taman Pauh Jaya di sini pada 22 Mei 2024.

“Bantuan tanpa tunai RM2,000 sebulan kepada ibu bapa Khayla (Adha Mirza) supaya boleh mendapatkan bantuan farmasi seperti pampers dan susu.

“Sebagai tambahan, kita (ZPP) memberi bayaran perubatan RM30,000 setahun ‘one off’ setahun dan (bayaran perubatan tersebut adalah diperbaharui (tiap-tiap tahun) dan RM2,000 sebulan berterusan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Menurut Mohamad, permohonan sumbangan bantuan ZPP tersebut mula diproses susulan beliau menziarahi keluarga Khayla Adha Mirza kira-kira tiga minggu lepas.

Mohamad memberitahu beberapa bantuan ZPP tersebut kepada ibu bapa kepada Khayla Adha Mirza, Khairol Niza Zaffarullah Khan, 44, dan Imran Mohd Yusoff, 45.

941f8edf 2c81 4d5f 8aaa 6c424eadc6bf
IMRAN Mohd Yusoff

Imran yang ditemui kemudian memberitahu bahawa anak bongsu dari tiga adik beradik itu memerlukan dua kali dos penggalak ‘stemcell’ tiap-tiap bulan yang mana setiap suntikan bernilai kira-kira RM2,400.

Itu, menurut Imran lagi, tidak termasuk kos suntikan ‘stemcell’ darah dua bulan sekali, yang mana setiap kali suntikan menelan belanja sebanyak RM11,400.

Kos perubatan tahunan buat Khayla Adha Mirza adalah kira-kira RM126,000.

Buletin Mutiara difahamkan penyakit Khayla Adha Mirza bukan hanya menyebabkan tubuhnya hilang keupayaan untuk berjalan, malah, patah tulang tangan dan kaki lebih 60 kali sejak dilahirkan.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Hong Leong Bank bernombor 05351090018 atas penama Khairol Niza Zaffarullah Khan atau menghubunginya di talian 011-3712 7515 atau Imran (018-402 3079).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD