Kibar Jalur Gemilang atas semangat patriotisme, tiada paksaan – Ketua Menteri

Admin
ACARA pelepasan konvoi motosikal sempena sambutan Bulan Kemerdekaan Yang Ke-66 Tahun 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang di perkarangan Masjid Jamek Jelutong pada pagi tadi (26 Ogos 2023) disempurnakan oleh Ketua Menteri sendiri.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya tidak akan mengenakan kompaun sehingga RM250 kepada premis perniagaan yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan ini, seperti dikuatkuasakan di peringkat Majlis Bandaraya Ipoh, Perak dan Majlis Bandaraya Kuantan, Pahang.

KETUA Menteri menyampaikan ucapan perasmian program berkaitan di sini pada pagi tadi.

Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkenaan bagaimanapun menyatakan bahawa Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menggalakkan semua pemilik premis perniagaan mengibarkan Jalur Gemilang bagi menunjukkan semangat patriotik sempena bulan Kemerdekaan sehingga 16 September 2023.

“Di Pulau Pinang semenangnya kita (MBPP dan MBSP) tidak ada dasar sedemikian (berkenaan kompaun sehingga RM250 pada premis perniagaan yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kemerdekaan ini).

“Kita percaya dasar sedemikian akan ada kesan sebaliknya, (maka) sepatutnya semangat patriotisme atau apa-apa program yang dianjurkan atas semangat kecintaan kita kepada negara dan bukan melalui paksaan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan di perkarangan hadapan Masjid Jamek Jelutong dekat sini pada 26 Ogos 2023.

Sebelum itu, Kon Yeow bersama-sama Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat menyempurnakan acara pelepasan Konvoi Motosikal 4.0 bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan Yang Ke-66 Tahun 2023 dengan tema ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’.

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim yang juga ADUN Sungai Pinang; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Pegawai Daerah Timur Laut, Rosli Halim; Ketua Polis Balai Jelutong, Asistan Superintenden (ASP) Zulhairysyam Abdul Aziz; Mohd. Saffuan Mad Isa (wakil Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, JHEAIPP); Abdul Aziz Fairuz (Sekretariat Jawatankuasa Induk Program Jaulah Merdeka Ride To Malaysia Madani 4.0 Negeri Pulau Pinang) dan (tuan rumah majlis pelepasan kon konvoi) Pengerusi Kariah Masjid Jelutong, Abdul Shukor Ali turut sertai program patriotik tersebut tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT