GEORGE TOWN – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan notis penutupan kepada kilang serta premis-premis berkait dengan Kluster Bayan yang dikenal pasti sebagai kluster baru pada 25 Oktober lalu.
Semua premis makanan yang pernah dilawati individu dikesan positif kes COVID-19 juga diarah tutup sementara untuk proses disinfeksi bagi memutuskan rantaian kluster tersebut secepat mungkin.
Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, semua pekerja yang mempunyai kontak rapat dengan kes indeks tersebut juga diasingkan dan telah menjalani ujian saringan COVID-19.
“Tindakan-tindakan yang diambil oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) ini adalah untuk memutuskan rantaian COVID-19 sekaligus menjamin kesihatan seluruh rakyat di negeri ini,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman Pulau Pinang dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 11 November ini.
“Manakala bagi Penjara Jawi (Seberang Perai) pula pelaksanaan PKPD masih lagi berkuat kuasa.
“Bagaimanapun, memandangkan penjarakan fizikal di penjara adalah amat sukar dilakukan maka kita masih akan menerima laporan kes-kes baru dalam tempoh ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kon Yeow menasihati rakyat di negeri ini untuk terus memberikan kerjasama dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam usaha mengembalikan status Pulau Pinang sebagai negeri Hijau.
“Saya harap rakyat Pulau Pinang terus bersama-sama menyokong segala usaha dilaksanakan pihak berwajib untuk memulihkan keadaan seperti sedia kala.
“Kita tidak mampu lagi menghadapi gelombang baru (kes COVID-19) kerana akan menjejaskan ekonomi dan kesihatan awam,” ulasnya.
Kon Yeow berkata, peningkatan mendadak kes aktif COVID-19 di beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya turut memberi kesan kepada sektor pelancongan domestik Pulau Pinang.
“Apabila beberapa negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), maka dengan itu bilangan pelancong dari negeri-negeri berkenaan terjejas dan ini akan membawa impak besar kepada sektor pelancongan domestik Pulau Pinang,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD