BATU KAWAN – VAT Manufacturing Malaysia Sdn. Bhd. (VAT), sebuah syarikat pengeluar injap dan komponen vakum terkemuka dunia yang berpengkalan di Switzerland, baru-baru ini telah memulakan pengeluaran di kilang baru berlokasi di Taman Perindustrian Batu Kawan di sini.
Pengarah Urusan VAT, Bernd Kirchhofer berkata, pemilihan Pulau Pinang untuk menubuhkan kilang pembuat injap dan komponen vakum pertama di Asia adalah sebahagian visi untuk memenuhi permintaan pasaran Asia yang kian berkembang.
“Pulau Pinang mempunyai kemudahan yang bersesuaian, bersepadu dan memenuhi kehendak VAT.
“Selain mempunyai tenaga kerja mahir, Pulau Pinang turut menawarkan bakat-bakat baru yang mempunyai kepakaran dalam pengendalian asas operasi kawalan berangka berkomputer (Computerized Numerical Control – CNC)”, katanya pada Majlis Perasmian Kilang VAT di sini baru-baru ini.
Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Ketua Menteri II, Profesor Dr. P. Ramasamy.
Dr. Ramasamy yang juga merupakan Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan dan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi turut dibawa melawat ke kawasan sekitar kilang tersebut.
VAT Manufacturing telah melabur lebih RM100 juta untuk membina kemudahannya di Pulau Pinang.
Kilang yang mempunyai keupayaan menghasilkan 10,000 injap dan komponen tersebut turut membuka 100 peluang pekerjaan.
Kirchhofer memberitahu, injap dan komponen dikeluarkan VAT turut digunapakai untuk pengeluaran berasaskan semikonduktor, di mana kilang-kilang semikonduktor amat pesat membangun di Pulau Pinang.
“Tahun hadapan (2014), kita mensasarkan pengeluran kepada 4,000 unit injap dengan perolehan sebanyak AS$30 juta (RM91.08 juta) berbanding pengeluaran awal bagi tahun ini hanya 1,000 unit injap.
“Sejumlah 45 peratus daripada pengeluaran keseluruhan VAT adalah untuk pasaran di Asia terutamanya di Singapura, Korea Selatan, China dan Jepun,” jelas beliau.
Di samping itu, beliau turut menyatakan bahawa VAT (di Pulau Pinang) boleh menyediakan pemasangan papan litar bercetak (printed circuit board assembly -PCBA) dan perkhidmatan proses penganodan (anodising process) untuk bahagian injap logam vakum pada harga lebih kompetitif berbanding negara-negara seperti Taiwan, Korea Selatan dan Singapura, di mana kos pembuatan dan perkhidmatannya terlalu tinggi.
Dalam pada itu, Dr. Ramasamy berkata, Pulau Pinang bukan sahaja mempunyai kemudahan, malah turut menawarkan bakat-bakat tenaga kerja mahir baru dalam visinya menjadi sebuah negeri berteknologi tinggi dalam bidang sains dan teknologi.