‘Kinetic Walkway’, ‘3M Vehicles System’ bukti komitmen MBPP ke arah kesejahteraan rakyat

PENGANJURAN Hari Inovasi Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2023 baru-baru ini adalah untuk mendorong penjawat awam supaya bergerak seiring dengan matlamat pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memfokuskan pembangunan dan inovasi bagi merealisasikan masa depan yang cemerlang dan lestari.

Bertemakan ‘Inovasi Pemacu Masa Hadapan Mampan’, dua kumpulan dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) iaitu Kumpulan Heritage dan Kumpulan Undercover berjaya meraih kemenangan bagi penyertaan “Innovation Blast” Kategori ICT dan Kategori Bukan ICT masing-masing.

Kumpulan Heritage dari Jabatan Konservasi Warisan terdiridaripada MUSHIRAH MOHAMAD BADARUDIN (ketua); NUR ADIBAH ABDUL NASIR dan K. POONCHIT manakala Kumpulan Undercover pula dari Unit Penyelarasan Pembangunan, SHAWAL ABUL HAQ AHMAD JELANI dan S. MAHENDRAN dari Jabatan Khidmat Pengurusan.

Susulan kejayaan itu, Buletin Mutiara menetapkan janji temu untuk mendekati kedua-dua kumpulan yang melakar kejayaan baru-baru ini.

MUSHIRAH Mohamad Badarudin.

Idea inovasi ‘Kinetic Walkway’ menurut Mushirah, tercetus apabila mengetahui bahawa hanya dengan berjalan kaki atau berlari di atas jalan berturap dapat menghasilkan tenaga elektrik.

“Kaedah ini dapat memanfaatkan orang ramai yang ingin mengecas gajet elektronik di stesen pengecasan yang tersedia dan juga menjana ‘garden straight light’ terutama di kawasan warisan yang sering dibanjiri pengunjung.

“Hanya dengan berjalan, secara tidak langsung menjana elektrik yang akan diaktifkan apabila mereka melalui laluan ‘Kinetic Walkway’ ini,” ujarnya membuka bicara.

KONSEP ‘Kinetic Walkway’ yang diketengahkan.

Mengulas lanjut, Mushirah berkata bahawa konsep yang diketengahkan itu seiring penjanaan kuasa yang mampan.

“Konsep ‘Kinetic Walkway’ boleh digunakan sebagai salah satu inisiatif hijau di bawah Program Pelan Adaptasi Iklim SemulaJadi Pulau Pinang (PNBCAP).

“Melalui teknologi teras yang diletakkan pada penjana elektromagnet yang ditanam, laluan pejalan kaki akan menghasilkan tenaga kinetik ekoran pemampatan lalu menjana kuasa elektrik.

“Pendekatan ini bukan sahaja menggalakkan bandar Pulau Pinang yang mesra alam bahkan juga berupaya meningkatkan lagi kecekapan tenaga hijau selaras Visi Penang2030 ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” jelasnya.

Difahamkan, Kumpulan Heritage berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 beserta sijil penghargaan dan piala.

DARI kiri, Shawal Abul Haq Ahmad Jelani dan S. Mahendran.

Sementara itu, Shawal Abul Haq ketika ditemui memberitahu bahawa Kumpulan Undercover mencadangkan dua idea inovasi iaitu Sistem Kenderaan 3M (3M Vehicles System) dan Penjejak Kenderaan Terbengkalai (Abandoned Vehicles Tracker).

“Konsep Sistem Kenderaan 3M ini adalah sebagai sebuah platform yang lebih sistematik dalam menyelenggara dan mengurus kenderaan jabatan MBPP, tanpa perlu merekod menggunakan kaedah manual iaitu melalui buku log.

“Idea ini selaras dengan konsep 3M iaitu Monitor, Manage dan Maintain (Pantau, Urus dan Selenggara) kenderaan yang terdapat di lebih 16 jabatan di MBPP.

“Jadi, apabila wujudnya sistem sebegini, pegawai kenderaan akan lebih peka untuk menjalankan servis seterusnya terhadap kenderaan, setiap perincian dan rekod penyelenggaraan turut disertakan dalam sistem tersebut.

“Pendekatan proaktif ini adalah untuk membantu dalam mengurangkan kerosakan yang tidak dijangka dan pada masa yang sama dapat memandu kenderaan dalam keadaan yang selamat.

“Menariknya, selain ciri-ciri canggih disertakan, sistem tersebut turut mempunyai pangkalan data komprehensif setiap kenderaan termasuk lesen kenderaan seperti cukai jalan, saya percaya pengurusan kenderaan sebegini berupaya meningkatkan kecekapan secara keseluruhan,” hurainya apabila ditanya mengenai inovasi yang dihasilkan.

Bagi aplikasi Penjejak Kenderaan Terbengkalai (AVT) pula, Mahendran memaklumkan bahawa konsep tersebut cenderung menjadi solusi berkesan untuk menangani isu kenderaan usang dan terbiar di negeri ini.

“Aplikasi AVT membolehkan rakyat mengakses dengan menanda atau pin lokasi kenderaan terbiar dengan mudah, kemudian pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan segera.

“Pada pendapat saya, konsep aplikasi ini lebih menekankan peranan orang awam secara keseluruhan dalam membasm ibilangan kereta terbiar di perkarangan parkir awam, perumahan dan sebagainya.

“Jabatan Penguatkuasa MBPP sudah tentu akan mengambil tindakan dengan menempatkan kenderaan terbiar di depoh atau berurusan dengan pihak yang berminat, juga melalui aplikasi berkenaan,” katanya.

Buletin Mutiara difahamkan, kategori penyertaan bagi idea 3M Vehicles System memenangi tempat pertama dah meraih hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 manakala cadangan Abandoned Vehicles Tracker meraih tempat ketiga serta memperolehi RM300.

A. Rajendran bersama-sama barisan pemenang Hari Inovasi Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Dalam pada itu, menerusi sesi wawancara berasingan, Datuk Bandar MBPP, Dato’ A. Rajendran menzahirkan ucapan tahniah kepada keseluruhan jabatan dan unit di MBPP yang terlibat atas pencapaian yang luar biasa ini.

“Pengiktirafan yang bermakna ini telah menonjolkan bukti komitmen setiap jabatan dan unit di MBPP melalui pelbagai idea inovasi dan kreativiti bersempena penganjuran Hani Inovasi ini.

“Saya juga berharap MBPP akan meneruskan usaha baik dalam menjadikan kejayaan ini sebagai penanda aras baharu untuk mendorong mereka untuk terus berinovasi seiring era globalisasi demi kesejahteraan seluruh warga negeri,” serunya.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT & ALISSALA THIAN