Kira-kira 500 surat tawaran Rumah MutiaraKu dikeluarkan setiap bulan, kata Exco

Admin
baf0f86d eb49 4024 9a8f bef1f61ec0ec S. Sundarajoo (empat dari kiri) dalam majlis berkaitan menyerahkan surah tawaran Rumah MutiaraKu (RMKu) kepada salah seorang pemohon yang layak di ruang legar Tingkat 3 Komtar di sini pada 26 Januari 2025.

GEORGE TOWN – Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo memaklumkan bahawa Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) secara purata menawarkan kira-kira 500 unit Rumah Mampu Milik (RMM) Pulau Pinang yang kini dikenali sebagai Rumah MutiaraKu (RMKu) kepada mereka yang layak tiap-tiap bulan.

5d068767 f6f1 4313 ab56 001c29bd54b7
S. Sundarajoo

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai berharap rakyat yang masih belum mempunyai unit kediaman selesa, supaya segera membuat permohonan berwajib secara langsung daripada agensi negeri.

“Saya harap mereka yang layak memohon skim sewa beli (RTO) daripada kita (Kerajaan Negeri) supaya memohon kerana kadar yang lebih berpatutan, daripada menyewa pada kadar yang lebih tinggi daripada pihak ketiga.

“Jangan sesekali dapat RTO RMKu daripada kita, kemudian sewakan kepada pihak ketiga untuk mendapatkan lebih untung,” jelasnya semasa merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Bagi Projek RMKu Jenis C dan Hari Bertemu Pelanggan Bil. 1 Tahun 2025, yang berlangsung di Ruang Legar, Tingkat 3 Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini pada 26 Januari 2025.

Di samping itu, Sundarajoo berkata bahawa pihaknya menyasarkan untuk menawarkan RMKu melalui skim RTO bagi unit kediaman yang telahpun disubsidi oleh pemaju bukan kerajaan sendiri.

“Misal kata rumah yang kita (kerajaan dan LPNPP) tawarkan dengan Harga RM42,000, kalau nak bina melibatkan kos lebih RM150,000 (seunit).

“Jadi, bayangkan berapa banyak subsidi yang dikeluarkan oleh pemaju (apabila) diberi diskaun RM100,000 dan jual pada Harga RM42,000 sahaja.

“Rumah-rumah yang ditawarkan (melalui skim RTO) ini tidak boleh disewakan (kepada pihak ketiga) kerana kita nak membekalkan kepada mereka yang benar-benar layak,” jelasnya lagi.

1315cd74 5d59 4812 b2a7 af04e1b58af2
SUASANA hadirin sedang beratur panjang bagi menyertai sesi temu bincang dengan pegawai Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) semasa berlangsungnya Hari Bertemu Pelanggan Bil. 1 Tahun 2025 pada awal lagi tadi sini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya bersama-sama LPNPP akan senantiasa melaksanakan langkah pemantauan dan penguatkuasaan berwajib dari semasa ke semasa bagi mencegah aktiviti sewaan RMKu kepada pihak ketiga secara spekulatif.

“Kalau RMKu ini disewakan (kepada pihak ketiga), bermakna kalian ialah orang kaya; tidak mahu diami unit kediaman yang ditawarkan dan dibeli itu.

“Jadi, kemungkinan kita (Kerajaan Negeri dan LPNPP) akan ‘ambil’ balik hartanah itu… sebab dalam surat tawaran itu ada sebut rumah (RMKu) ini tidak boleh dijual atau disewa tanpa kebenaran Kerajaan Negeri dan LPNPP,” tegasnya lagi.

Difahamkan, pada hari ini sejumlah 249 surat tawaran RMKu dikeluarkan oleh LPNPP, termasuk 19 pihak untuk menerima surat tawaran secara serahan tangan, sebagai simbolik pada komitmen Kerajaan Negeri membekalkan unit kediaman selesa dari semasa ke semasa.

Mereka, sama ada penerima RMKu Jenis C bernilai maksimum RM250,000 di Iconic Harmoni dekat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) atau RM300,000 di Maldives Residences dekat Daerah Barat Daya.

Pada sidang media selepas itu, Sundarajoo berkata pihaknya dari semasa ke semasa akan melaksanakan langkah pemantauan memandangkan ada RMKu disewakan kepada pihak ketiga pada kadar berlipat-kali ganda untuk penempatan pekerja asing.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, beliau turut mengaku bahawa kadar penolakan permohanan pinjaman perumahan oleh pihak bank merupakan salah satu faktor yang menjejaskan kerja-kerja perbekalan rumah oleh Kerajaan Negeri dan LPNPP kepada mereka yang layak.

“Masalahnya bukan sistem atau pihak yang menguruskan sistem (agihan RMKu), tetapi pemohon sendiri (yang mana) mereka mohon dan tunggu sahaja, tidak boleh.

“Pemohon perlu kemas kini permohonan perumahan setiap tiga tahun, baru sistem permohonan dikemas kini, kalau tidak penggiliran mereka untuk ditawarkan unit kediaman tidak berlaku (secara wajar).

“Kadar penolakan pinjaman perumahan oleh pihak bank memang ada.

“Misal kata orang berniaga dekat pasar dengan gaji tidak sampai RM3,000 (sebulan) dan dokumen pun tidak ada untuk mengesahkan pendapatannya.

“Untuk golongan sedemikian, apa yang boleh kita bantu adalah tawarkan unit kediaman dengan beli secara sewa beli (RTO),” katanya.

Beberapa kaunter dibuka oleh wakil bank hadir sempena Hari Bertemu Pelanggan Bil. 1 Tahun 2025 pada pagi ini, oleh itu kata Sundarajoo berharap golongan berkenaan dapat berbincang lanjut mengenai hal kemampuan memohon pinjaman perumahan masing-masing.

016ab85e 3f01 4401 a2e4 e3d7632927a3
FAKHRURRAZI Ibu Omar (kanan) turut sertai sidang media media bersama-sama S. Sundarajoo di sini menjelang tengah hari tadi.

Ketua Pegawai Bisnes LPNPP, Fakhurrazi Ibu Omar; Ketua Pegawai Penguatkuasaan dan Perundangan LPNPP, Nadzifah Abd’ Rahim; Ketua Pegawai Operasi Ideal Property Group, Dato’ Goh Teng Whoo dan Pengarah Eksekutif Iconic Worldwide Berhad, Jason Chung Wei Chiun turut serta dalam acara tersebut di sini sehingga tengah hari tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT