Kit Siang dahului senarai penerima darjah kebesaran sempena ulang tahun ke-75 TYT Pulau Pinang

Admin
1a6fd1b9 0893 4af2 92fd 209c9ffc6908 LAW Choo Kiang pada petang tadi menyampaikan ucapan alu-aluan dalam acara raptai berkaitan sempena Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 yang dijadualkan bermula esok di Dewan Sri Pinang, di sini.

GEORGE TOWN – Tan Sri Lim Kit Siang mendahului senarai 142 penerima darjah kebesaran yang utama sempena Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 yang dijadualkan bermula esok di Dewan Sri Pinang, di sini.

Veteran politik berkenaan akan menerima Darjah Utama Pangkuan Negeri (D.U.P.N) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama, sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-75 Yang diPertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dengan diiringi isteri, YABhg. Puan Tan Lean Kee serta sekalian kenamaan lain dijadualkan menghadiri majlis penuh istiadat tersebut, esok.

 

d1a8fe4f fbaf 457e 9645 81f01574576f
LAW Choo Kiang

Pada majlis sama nanti, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa; Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Dato’ Azman Ibrahim antara 28 individu yang disenarai sebagai penerima anugerah Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohamad Abdul Hamid turut disenarai antara 10 penerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N.) yang membawa gelaran Dato’.

Seramai 102 orang akan menerima Darjah Johan Negeri (D.J.N.), diikuti Bintang Cemerlang Negeri (B.C.N.) kepada 30 orang penerima lain.

Pingat Gagah Perwira (P.G.P.) untuk tahun 2024 pula akan dianugerahkan kepada Sarjan Mazlan Abdul Rahman atas jasanya menyelamatkan dua mangsa terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada 15 Januari lepas.

Acara istiadat selama empat hari sehingga 1 Ogos depan menyaksikan 1,204 penerima Bintang dan Pingat Kehormatan termasuk 205 orang penerima dianugerahkan Pingat Kelakuan Terpuji (P.K.T.), diikuti 328 penerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.), 516 penerima Pingat Jasa Masyarakat (P.J.M.) dan 22 penerima Pingat Bakti Setia (P.B.S.).

Kenyataan bertulis Choo Kiang selaku Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dipetik, susulan selesai acara raptai majlis istiadat berkaitan di sini pada petang tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING