GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang senantiasa berusaha untuk mencari sumber air mentah alternatif selain Sungai Muda demi mengelak risiko gangguan bekalan air terawat di negeri ini.
Pelan kontigensi yang diusahakan, menurut beliau, termasuk cadangan pelaksanaan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) di samping menyokong pewartawan Hutan Simpan Ulu Muda, Kedah sebagai kawasan tadahan.
Namun, tegas Kon Yeow, kedua-dua pelan kontigensi tersebut memerlukan komitmen bersama daripada Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri Perak dan Kedah.
“Kita tidak duduk diam-diam (dan) dalam tempoh ini, kita tahu bahawa sebagai Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa air (Negeri), kita telah kaji dan memikirkan (pelan kontigensi) untuk 10 hingga 20 tahun ke depan.
“Sementara menunggu kelulusan SPRWTS yang telah tertangguh sejak tahun 2011, Kerajaan Negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah membuat perancangan menerusi Inisiatif Bekalan Air Pulau Pinang 2050 (PWSI 2050) yang mana termasuk projek pembesaran Empangan Mengkuang (fasa pertama telah disempurnakan) dan juga penambahan kapasiti rawatan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang juga telah siap.
“Dalam pada itu, penggunaan Sungai Perai sebagai salah satu bekalan sumber air mentah juga juga dikaji menerusi pelan ini, namun isu pencemaran adalah perlu ditangani terlebih dahulu sebelum loji rawatan dibina dan langkah terakhir adalah disentralisasi,’’ katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pada sidang media dekat Komtar di sini pada 8 Julai 2022.
Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong menyatakan bahawa kejadian yang berlaku pada 6 Julai lalu telah meningkatkan kesedaran bahawa apa yang diutarakan oleh Kerajaan Negeri dan PBAPP selama ini berhubung peranan Sungai Muda sebagai sumber air mentah utama adalah tepat sekali.
“Sejak saya menjadi Ketua Menteri (Pulau Pinang), saya telah berjumpa dengan dua menteri besar dan juga dua menteri berhubung isu ini, malah juga mengetuai delegasi ke Ipoh, Perak.
“Perkara yang kita perlu lakukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, kita sudah laksanakan… di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, pihak berkaitan perlu laksanakan dan begitu juga dengan perkara yang melibatkan beberapa Kerajaan Negeri.
“Kerajaan Persekutuan seakan cuba memainkan politik pemerintahan (dalam beberapa cadangan pelan kontigensi negeri selama ini, namun) apa yang Menteri kita sedang buat?
“Kita ada suatu krisis yang besar di sebuah negeri yang begitu penting di negara ini dan kalian tidak mengambil sebarang tindakan (kontigensi),’’ tegasnya sambil menyeru rakyat Pulau Pinang untuk bersatu dan begitu juga rakyat negeri Kedah serta Perak untuk bersama-sama menyelesaikan isu air di utara Semenanjung negara.
Bercakap pada sidang media sama, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa memberitahu bahawa sehingga kini (jam 12.30 tengah hari tadi), kira-kira 20 peratus baki pemegang akaun masih mengalami gangguan bekalan air terawat.
“20 peratus yang masih belum dapat semula (bekalan air) adalah mereka yang duduk di kawasan ‘tinggi’ seperti Teluk Kumbar dan Bukit Jambul.
“Air dalam paip mesti penuhi kawasan ketinggian paling rendah dahulu, apabila penuh baru ia akan naik ke kawasan yang lebih tinggi,” ujarnya.
Tambah Jaseni, baki 20 peratus pemegang akaun dijangka kembali mendapat bekalan air terawat pada pagi esok.
Semalam, Jaseni dilaporkan berkata bahawa dianggarkan 528,000 pemegang akaun terjejas akibat langkah catuan air, dan kini 253,440 pemegang akaun terbabit kembali mendapat bekalan air terawat seperti biasa.
Khamis lepas, beliau berkata pada jam 6 pagi Rabu (6 Julai 2022), kekeruhan air mentah yang dipam dari Sungai Muda (melalui Terusan Sungai Dua) ke loji itu direkodkan 3,000 Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU).
Menurut beliau, ia adalah penarafan kekeruhan yang luar biasa tinggi yang mana kekeruhan normal Kekeruhan air mentah dari Sungai Muda adalah di bawah 1,000 NTU.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI