KAHERAH – Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universiti Al-Azhar pada 17 Disember 2023 di Kaherah, Mesir.
MoU tersebut dimeterai antara Rektor KITAB, Profesor Madya Dr. Wan Nazjmi Mohamed dengan Presiden al-Azhar, Profesor Dr. Salamah bin Dawood.
Majlis menandatangani MoU turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid.
Mohamad yang juga Exco Pembangunan Agama, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Perpaduan Masyarakat memberitahu bahawa usaha mengadakan MoU tersebut bermula sejak Januari tahun lepas iaitu semasa beliau masih menjadi Rektor KITAB.
“Ketika itu (bulan Januari 2023), (delegasi KITAB) telah membuat kunjungan hormat dan perbincangan ke atas Yang Berbahagia Prof. Dr. Muhammad Husayn al-Mahrasawi, Presiden al-Azhar.
“Bermula dengan perbincangan berkenaan penyambungan pengajian secara perpindahan kredit (Transfer Credit) iaitu selama dua tahun di Malaysia dan dua tahun di Universiti al-Azhar, Mesir.
“Hasrat KITAB disambut baik oleh pihak al-Azhar dan pemetaan silibus telah dilakukan dengan kerjasama pihak al-Azhar selepas itu,” jelasnya dalam kenyataan pada 18 Disember 2023.
Selain Mohamad, Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Rashidi Zinol; Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Exco Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol; Duta Besar Malaysia ke Mesir, Zamani Ismail; Timbalan Yang di-Pertua MAINPP, Dato’ Dr. Roslan Ahmad dan Setiausaha Majlis bagi MAINPP, Roshidi Hussain turut sertai majlis tersebut.
KITAB merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) milik penuh MAINPP.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB