SEBERANG PERAI – Kitar semula bermaksud memungut dan menghasilkan sisa pepejal bagi maksud menghasilkan keluaran. Kitar semula berlaku apabila bahan-bahan buangan diproses dan menghasilkan produk yang sama.
Kitar semula mengubah bahan-bahan yang sepatutnya menjadi sisa kepada sumber-sumber yang bernilai. Bahan-bahan seperti kaca, besi, plastik serta kertas dikumpul, diasingkan dan dihantar ke pusat pemprosesan untuk ditukarkan kepada produk atau bahan baru. Hasil penjualan kitar semula ini seterusnya dapat menjadi sumber pendapatan yang pulangannya akan berbalik kepada penduduk di kawasan tersebut.
“Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) komited untuk melihat program kitar semula dilaksanakan dengan jayanya di Seberang Perai. Usaha-usaha ke arah memperbanyakkan program-program kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan kitar semula akan dipergiatkan lagi dari semasa ke semasa,” ujar Yang DiPertua (YDP) MPSP, Maimunah Mohd. Sharif ketika menghadiri Majlis Taklimat Program Kitar Semula MPSP Untuk Penduduk-penduduk Rumah Pangsa PPR Ampangan, Ampang Jajar, baru-baru ini.
Menurut beliau, program ini juga menuntut adanya kefahaman dan kerjasama di antara MPSP dan penduduk. Melalui kerjasama yang erat, ia dapat menjadikan Seberang Perai sebuah tempat yang bersih, indah dan selesa untuk didiami, bekerja dan kompetetif untuk pelaburan.
“Ini selaras dengan seruan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam melaksanakan program 3P iaitu Pendidikan, Penguatkuasaan dan Penghargaan demi menjayakan inisiatif Pulau Pinang yang lebih bersih serta lebih hijau (Cleaner,Greener Penang Initiative),” kata beliau lagi.
Pada tahun 2010, MPSP telah membelanjakan RM42.6 juta untuk menguruskan kerja-kerja pembersihan, kutipan dan pelupusan sisa pepejal di Seberang Perai. MPSP juga telah berjaya mengitar semula sebanyak 355 tan sehari dan secara keseluruhannya pada 129,804.44 tan setahun.
Dengan kadar ini, MPSP telah menjimatkan sebanyak RM2,206,675.48 kos pelupusan sisa pepejal atau sebanyak RM17 bagi setiap tan sisa pepejal. Kadar ini dapat ditingkatkan jika semua masyarakat mengamalkan kitar semula sama ada di rumah, pejabat, industri dan lain-lain kemudahan sekaligus MPSP akan dapat menjimatkan jutaan ringgit.
Program ini juga bertujuan mengikis tanggapan negatif bahawa program kitar semula ini hanya menyusahkan serta tidak memberikan apa-apa faedah. Ia sebaliknya memberikan gambaran yang jelas bahawa perlunya kerjasama erat dan pemuafakatan di antara Pihak Berkuasa Tempatan dan juga masyarakat ke arah penyelesaian masalah sampah.