Kiwanis Sensory Room, sedia perkhidmatan terapi deria kanak-kanak berkeperluan khas

Admin
img 5895

BILIK terapi deria atau sensory room merupakan sebuah bilik kemudahan yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan interaktif dan multi-sensori untuk merangsang deria-deria secara selamat dan terkawal dengan pemerhatian serta sokongan juruterapi terutamanya bagi perkembangan kognitif dan keyakinan kanak-kanak berkeperluan khas atau yang mempunyai masalah pembelajaran.

be66fc3c 2d94 4afc 9759 c8aac61db1e0

dfc4f938 5e3c 44e2 ab87 4546f431b210
KIWANIS Sensory Room yang bertempat di Unit Pemulihan Carakerja (Pediatrik) dekat Blok A Hospital Pulau Pinang.

Kiwanis Sensory Room yang terletak di Blok A Hospital Pulau Pinang (HPP) merupakan salah satu bilik terapi deria yang diwujudkan hasil sumbangan badan bukan kerajaan (NGO), Kiwanis Club of Penang Sentral bertujuan memberikan rawatan terapi sensori untuk pembangunan dan pembelajaran kanak-kanak autisme serta gangguan hiperaktif kurang perhatian (ADHD).

Bilik ini dirasmikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada 13 Februari lalu, yang mana dilihat mampu membantu ibu bapa yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas mendapatkan perkhidmatan terapi sensori bersesuaian.

img 5914
BARISAN pakar perubatan dan juruterapi Jabatan Rehabilitasi Hospital Pulau Pinang.

Susulan itu, bagi mengetahui lagi lebih lanjut mengenai Kiwanis Sensory Room, barisan pakar perubatan Jabatan Perubatan Rehabilitasi HPP sempat berkongsi sedikit sebanyak latar belakang kemudahan yang baharu dalam satu sesi wawancara khas bersama-sama wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL baru-baru ini.

Pegawai Pemulihan Carakerja Jabatan Perubatan Rehabilitasi HPP, ZURLINA MAHMUD, ketika ditemui berkata bahawa ramai kanak-kanak seawal usia kelahiran telah didiagnosis dengan kesukaran perkembangan deria.

“Langkah awal sebelum diagnosis sama ada kanak-kanak tersebut cenderung mengalami ADHD, gangguan spektrum autisme (ASD) atau kecelaruan personaliti antisosial (APD) adalah bermula daripada ibu bapa.

img 5898
ZURLINA Mahmud.

“Ramai ibu bapa yang memandang enteng terhadap penyakit ini menyebabkan pesakit tidak menerima rawatan yang sepatutnya dan terlambat untuk dirawat.

“Pada era globalisasi ini, ramai ibu bapa membiarkan anak-anak mereka menghabiskan masa berjam-jam dengan telefon pintar dan gajet tanpa menyedari akan kesan jangka panjang, contohnya cabaran perkembangan akan menjadi lebih sukar dan kurang berkesan.

“Sudah tentu di Kiwanis Sensory Room ini, telah menjadi tanggungjawab pakar perubatan di sini memberi latihan dan sokongan secukupnya kepada pesakit, akan tetapi kekangan yang dihadapi telah membataskan rawatan yang diberi.

“(Dan) sebagai pakar perubatan, saya berpendapat bahawa perkhidmatan rehabilitasi di Pulau Pinang terutamanya masih lagi kekurangan kemudahan dan aksesibiliti untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

“Syukur dengan sedikit kemajuan dan pembaharuan, usaha Kiwanis Club of Penang Sentral memenuhi kelengkapan di Kiwanis Sensory Room sangat efisien, walaupun masih banyak lagi peralatan yang perlu disediakan,” ujarnya.

Tambah Zurlina, sesi terapi sensori sebenarnya bertujuan membantu kanak-kanak yang mengalami perkembangan fizikal serta perkembangan mental kognitif dan memberi tindak balas sosial, emosi, dan tingkah laku yang lebih baik.

“Kemudahan bilik (terapi sensori) ini merupakan langkah permulaan yang betul, pesakit akan diberikan tugasan mudah untuk dilakukan secara ‘one-to-one’, jika arahan tersebut tidak boleh dilaksanakan maka ibu bapa perlu melakukan latihan asas di rumah juga.

“Jadi bagaimana untuk kita mengesan sama ada anak-anak kita normal atau memerlukan perhatian istimewa adalah ketika mereka sedang bercakap atau bertingkah laku yang luar dari kebiasaan.

“Jika berlaku sedemikian maka mereka mengalami kelainan upaya dan kebiasaannya mempunyai kad OKU (orang kurang upaya).

“Maka, juruterapi di sini akan menjalankan aktiviti deria terhadap pesakit bagi menyampaikan maklumat ke dalam otak di kawasan ‘jambatan tersekat’ untuk mempelajari kemahiran baharu.

“Ibu bapa juga turut dinasihatkan untuk meniru aktiviti deria sebagai rawatan berterusan kepada pesakit, baru boleh menjangkakan perkembangan yang baik kelak,” jelasnya.

Menurut Zurlina, semua pesakit yang hadir ke Kiwanis Sensory Room adalah berdasarkan rujukan doktor pakar dan janji temu yang telah ditetapkan.

 

Kekangan peralatan, stigma ibu bapa

Sementara itu, Ketua dan Pakar Perunding Jabatan Rehabilitasi HPP, DR. ZETTY NOREETA MOHD. ROZALI ketika ditemui, turut berkata bahawa antara cabaran yang dihadapi adalah dari segi kemudahan kelengkapan dan stigma sesetengah ibu bapa.

“Pesakit tidak hanya bergantung kepada preskripsi ubat, sesi terapi juga penting untuk dilakukan maka dari situ berlakunya campur tangan (intervension) antara juruterapi dan ibu bapa untuk memberikan rawatan yang terbaik.

img 5908
DR. Zetty Noreeta.

“Tidak semua pesakit boleh terus datang ke sini, mereka perlu faham bahawa terdapat prosedur yang perlu dipatuhi, pesakit perlu menjalani sesi penilaian terlebih dahulu dan jika didiagnosis baru boleh dirujuk ke sini.

“Kemudian jika dalam tempoh tiga bulan, tiada perkembangan memberangsangkan, maka pesakit akan menjalani terapi atau aktiviti seterusnya, sekiranya masih kurang baik maka perkembangan pesakit perlu disokong dengan pengambilan ubat yang diberi.

“Selain itu, tidak dinafikan bahawa kewujudan bilik (Kiwanis Sensory Room) ini memberi harapan kepada kanak-kanak berkeperluan khas, akan tetapi tidak semua boleh mengakses rawatan di sini khusus ini disebabkan keterbatasan sumber kelengkapan yang ada.

“Peralatan terapi seperti tangga, buaian, trampolin dan alat interaktif melibatkan kos yang sangat tinggi serta perlu diimport, jadi agak sukar untuk perluaskan perkhidmatan rehabilitasi terutamanya bagi hospital kerajaan yang mempunyai bajet yang terhad.

“Di Malaysia, kelengkapan peralatan untuk kanak-kanak ini boleh dikatakan sangat minimum, sepatutnya di Pulau Pinang bilik sebegini perlu lebih banyak disediakan.

“Jika lebih banyak NGO tampil menaja beberapa kelengkapan, maka aksesibiliti terhadap fasiliti akan lebih bertambah baik dan itu yang pihak kami mahukan,” katanya sambil menyatakan bahawa aksesibiliti yang lengkap mencipta persekitaran terapi yang moden dan berkesan.

 

Tahap kesedaran awam

Ketua Jabatan di Jabatan Rehabilitasi HPP, DR. SARA EASAW berpandangan bahawa tahap kesedaran umum masih lagi lemah dan menganggap penyakit ini boleh pulih sendiri.

“Ibu bapa terutamanya mempunyai banyak pilihan untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak mereka, namun, pihak kami mendapati sesetengah ibu bapa tidak mendapatkan bantuan segera kerana menganggap kesukaran yang akan dihadapi dan menganggap anak mereka akan pulih dengan sendiri.

img 5910
DR. Sara.

“Malah, ada juga yang malu untuk mengaku dan hanya membiarkan perkembangan anak-anaknya terbatas, apabila mula ke sekolah dan tidak boleh menjalani kehidupan sebagai pelajar maka biasanya pihak sekolah akan mengambil tindakan ‘menolak’ mereka dari terus bersekolah.

“(Dan) disebabkan itu mereka akan keciciran dan hanya duduk di rumah, maka bermula sesi menghabiskan masa berjam-jam dengan telefon pintar dan gajet tanpa menyedari kesan jangka panjangnya.

“Masa tayang (screening time) perlu diawasi kerana kanak-kanak cenderung menghabiskan masa mereka di rumah, jadi apa-apa yang mereka jalani di rumah akan membentuk perkembangan ‘sendiri’ berbanding sesi terapi di hospital.

“Saya ingin menyeru ibu bapa supaya cakna akan kebajikan pesakit, jika datang awal untuk merawat, pakar perubatan tahu apa yang boleh dilakukan kepada pesakit, jangan biarkan mereka keciciran dalam setiap aspek kehidupan,” katanya.