KKM gariskan lima strategi hadapi kehadiran pengembara dari Republik Rakyat China, negara-negara lain

Admin
KETUA Menteri

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa beliau telah menerima taklimat daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) berhubung tahap kesiapsiagaan negeri untuk menerima kehadiran pelancong dari Republik Rakyat China mulai Ahad ini.

Menurut beliau, pendekatan memastikan semua warganegara menerima vaksin merupakan salah satu daripada lima strategi yang digariskan peringkat Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menghadapi sebarang kemungkinan apabila pintu masuk antarabangsa di negeri Pulau Pinang dibuka nanti.

“Walaupun vaksin COVID-19 telah diberikan kepada rakyat, inisiatif memastikan semua orang divaksin sebagai langkah pencegahan adalah sangat penting.

“Salah satu strategi (bagi mencegah risiko COVID-19) adalah dengan melindungi diri masing-masing dahulu (dengan mengambil vaksin berwajib),” jelasnya selepas menyaksikan Majlis Lafaz Ikrar Terimaan Jawatan 12 Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dekat Dewan Bandaraya, Padang Kota Lama di sini pada 6 Januari 2023.

Buletin Mutiara difahamkan empat strategi lain yang digariskan KKM adalah memperkukuh sistem pengawasan COVID-19; memperketat proses saringan di pintu masuk antarabangsa; sistem sokongan berkaitan komunikasi berisiko jangkitan serta sesi konsultasi pelancong asing itu sendiri.

Menjawab soalan pemberita, Kon Yeow menyatakan bahawa pihaknya percaya bahawa langkah Kerajaan Persekutuan membuka pintu masuk antarabangsa kepada pelancong asing termasuk dari Republik Rakyat China dibuat berdasarkan data saintifik dan laporan statistik berkaitan.

“Kes COVID-19 masih mencatatkan jumlah yang banyak di beberapa negara (yang mana) menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysia sendiri dikelompokan dalam negara-negara rantau Barat Pasifik.

“Lebih menarik, negara lain dalam rantau Barat Pasifik adalah Jepun, Korea Selatan dan (Republik Rakyat) China.

“Jepun mencatatkan jumlah kes mingguan COVID-19 tertinggi (bagi tempoh 12 hingga 18 Disember 2022) dengan 1,046,650 kes, diikuti Korea Selatan (459,811 kes) dan China (147,643 kes).

“Bagi jumlah kes kematian, Jepun mencatatkan 1,617 kes, diikuti China (418) dan Korea Selatan (326) dalam tempoh yang sama.

“Saya dimaklumkan bahawa Malaysia dan Pulau Pinang mengalami corak menurun dari segi jumlah kes COVID-19.

“Kementerian Kesihatan menilai keadaan semasa berdasarkan data saintifik dan statistik (yang mana) saya diberitahu bahawa Kementerian Kesihatan juga telah melaksanakan lima strategi untuk menghadapi cabaran yang mendatang,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Ke-10 Malaysia Y.A.B. Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata pentadbirannya tetap akan memberi keutamaan kepada aspek kesihatan awam dan kesihatan persekitaran sungguhpun membuat keputusan untuk membuka pintu masuk antarabangsa kepada pelancong dari Republik Rakyat China dan negara-negara tertentu.

Jelas beliau, pusat pemeriksaan imigresen ke Malaysia turut akan memperketat proses saringan masuk ke dalam negara di tempat-tempat yang dikenal pasti mempunyai rekod kadar jangkitan yang tinggi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : ALISSALA THIAN