Klinik Desa Padang Menora bakal dibina semula – Exco

Admin
428f989c e59c 4731 a341 2edb006cf901 DANIEL Gooi Zi Sen dalam sidang media berkaitan di perkarangan hadapan Klinik Desa Padang Menora di sini pada 27 Februari 2024.

PERMATANG BERANGAN – Dibina pada tahun 1962, Klinik Desa Padang Menora yang kini berusia 62 tahun akan diruntuhkan dan dibina semula dalam tahun ini juga dengan melibatkan peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebanyak RM800,000.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhubung cadangan tempat pengoperasian perkhidmatan kesihatan sementara kepada penduduk setempat, sepanjang tempoh pelaksanaan projek persekutuan tersebut.

“Apabila kita (Jabatan Kerja Raya, JKR) melaksanakan kerja-kerja pembangunan ini, ke manakah penduduk setempat nak pergi untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan (yang mana) perkara itu dalam penelitian.

“Kita (Pihak Berkuasa Negeri) akan mendapatkan kepastian berhubung lokasi alternatif supaya perkhidmatan kesihatan berkaitan tidak tergendala sepanjang tempoh kerja-kerja pembangunan semula klinik desa ini dilaksanakan,” jelasnya yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang dalam sidang media berkaitan di Klinik Desa Padang Menora di sini pada 27 Februari 2024.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Fazilah Shaik Allaudin; Timbalan Pengarah JKNPP, Dr. Alias Abdul Aziz; Pegawai Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Dr. Izani Uzair Zubair; dan Jurutera Awam Penguasa Bangunan JKR Pulau Pinang, Ir. Ts. Mohamad Kamal Mohd Raudzi turut sertai sidang media tersebut.

Difahamkan, Perdana Menteri Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkan Belanjawan 2024 antara lain mengumumkan peruntukan sebanyak RM150 juta untuk KKM menaik taraf, membaik pulih dan menyelenggara klinik serta fasiliti daif bagi tahun semasa.

Daripada jumlah peruntukan kepada KKM itu, Pulau Pinang menerima sebanyak RM4.5 juta untuk projek pembangunan berkaitan yang melibatkan 11 klinik dan fasiliti daif.

Selain Klinik Desa Padang Menora, Zi Sen memberitahu bahawa Klinik Desa Permatang Tok Mahat yang daif turut akan diruntuhkan, lalu dibina semula oleh JKR Pulau Pinang.

Sehubungan itu, Zi Sen berharap perancangan Kerajaan Perpaduan Persekutuan untuk melaksanakan projek penarafan di 11 klinik dan fasiliti daif termasuk Klinik Desa Padang Menora serta Klinik Desa Permatang Tok Mahat tersebut sekali gus menjawab isu berkaitan yang dibangkitkan oleh ADUN Pembangkang bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Permatang Berangan, Mohd. Sobri Saleh dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada bulan November tahun lepas.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN