Klinik Floorball Pulau Pinang 2020 cungkil minat dan bakat baharu

PULAU BETONG – Program Sukan Untuk Semua kelolaan Kerajaan Negeri diteruskan lagi menerusi penganjuran Klinik Floorball Pulau Pinang 2020 baru-baru ini.

Program yang bertujuan mencungkil minat dan bakat baharu itu diadakan di Dewan Pasar Awam Balik Pulau pada 3 Oktober lalu.

Menurut Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, pembangunan sukan di tahap akar umbi adalah sangat penting dalam memastikan sukan tersebut terus berkembang dan peserta bertanding dengan cemerlang di peringkat dunia.

“Saya optimis bahawa penganjuran klinik sebegini dapat memupuk minat peserta-peserta terhadap sukan ini di samping mencungkil bakat-bakat dan potensi remaja dalam sukan floorball.

“Kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Persatuan Floorball Pulau Pinang yang mencipta rekod di peringkat kebangsaan dengan memegang rekod kemenangan tujuh tahun berturut-turut.

“Manakala bagi pasukan wanita, tiga kali berturut-turut di Kejohanan Piala Merdeka anjuran Persatuan Floorball Malaysia,” ujar beliau ketika berucap merasmikan klinik tersebut baru-baru ini.

Mengulas lanjut, katanya pencarian atlet di peringkat akar umbi tidak terhad kepada atlet sedia ada semata-mata, bahkan persatuan perlu turun ke pelosok daerah dalam mencari bakat-bakat baharu.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Floorball Untuk Semua dan Presiden Persatuan Floorball Negeri Pulau Pinang, Chiam Ter Min.

Tambah Lip Chee, walaupun sukan tersebut berasal dari negara barat, namun ianya semakin mendapat tempat di Asia.

Pada program tersebut Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal turut melakukan pukulan penalti floorball sebagai gimik perasmian.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI