Klinik Pakar Mata baharu di Hospital Bukit Mertajam bakal beri perkhidmatan berkualiti – Menteri

Admin
7a8ad7da f3d5 4bae b60a b366eaf429dd STEVEN Sim Chee Keong (duduk, kiri) turut meluangkan masa membuat pemeriksaan mata, semasa melawat Klinik Pakar Mata baharu dekat Hospital Bukit Mertajam di sini pada 20 Januari 2024.

BERAPIT – Projek menaik taraf sebuah bangunan sedia ada menjadi Klinik Pakar Mata baharu di Hospital Bukit Mertajam yang dilaksanakan sejak bulan Ogos hingga Disember tahun lepas menelan belanja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kira-kira RM470,000.

Semasa melawat klinik baharu tersebut, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata pihaknya berharap projek penaiktarafan tersebut dapat memendekkan lagi masa janji temu dan tempoh menunggu para pesakit pada masa hadapan.

“Dengan adanya penaiktarafan klinik ini, ia akan memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan cekap kepada pesakit dan pengunjung,” jelasnya seusai mengadakan lawatan kerja ke klinik tersebut di sini pada 20 Januari 2024.

Selain peruntukan RM470,000, Chee Keong memberitahu bahawa pada tahun lepas juga Hospital Bukit Mertajam yang berusia lebih 130 tahun turut menerima mesin Imbasan Tomografi Berkomputer atau CT Scan dengan nilai bernilai RM5.5 juta, daripada KKM.

Sementara itu, Pengarah Hospital Bukit Mertajam, Dr. Goh Hin Kwang berkata di Klinik Pakar Mata tersebut akan melaksanakan sistem rekod perubatan elektronik sepenuhnya seusai mendapat 42 unit komputer daripada vendor berwajib.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, beliau memberitahu bahawa bangunan lama Klinik Pakar Mata di hospital tersebut akan dinaik taraf menjadi Klinik Psikiatri dan Kesihatan Mental, kelak.

Dalam perkembangan berkaitan, Chee Keong dan Dr. Goh turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Hope Charity & Welfare, Chua Sui Hau dan Penasihat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut, Datuk Seri R. Arunasalam atas sumbangan amal berjumlah RM139,575 untuk pembelian peralatan perubatan dan perabut bagi Klinik Pakar Mata baharu di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negara, Senator Dr. R.A. Lingeshwaran.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR