Klinik Pickleball Pulau Pinang bina asas kukuh kalangan pelajar

Admin
img 20250301 wa0037

SUNGAI PINANG – Klinik Pickleball Pulau Pinang telah berjaya mengumpulkan seramai 1,000 penyertaan yang terdiri daripada 800 murid dan 200 guru dari 77 buah sekolah menengah di seluruh negeri Pulau Pinang.

Menurut Timbalan Pengarah Pendidikan dan Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Mohamad Said Ibrahim penganjuran klinik tersebut adalah bertujuan memperkenalkan permainan pickleball di negeri ini.

“Jika diperhatikan sukan pickleball ini semakin mendapat perhatian dan kian berkembang di Malaysia.

“Saya jangkakan sukan ini akan lebih berkembang pada tahun hadapan dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh semua pihak dalam mempromosikan lagi pickleball.

“Oleh itu bengkel ini berperanan ketengahkan lagi sukan ini kepada semua sambil memastikan anak jati Pulau Pinang cenderung ke arah sukan sekali gus dapat memupuk perpaduan dalam kalangan generasi muda,” ujarnya pada Majlis Perasmian Klinik Pickleball Negeri Pulau Pinang anjuran Sport We Play dekat GOAT Pickle Club, Jalan Jeti Jelutong di sini baru-baru ini.

 

7290fe79 1530 4ead 9e64 b1a207ed1503
(Dari kiri); SIM Fong Hau, Mohamad Said Ibrahim dan Mohd. Fadzil Mohd. Noor.

 

Hadir sama, Penolong Pengarah Pendidikan & Sektor Pembangunan Murid, JPNPP, Mohd. Fadzil Mohd. Noor dan Pengasas Sport We Play, Sim Fong Hau.

Fong Hau ketika ditemui berkata, sukan yang sedang mendapat tempat di seluruh dunia harus bertapak di Pulau Pinang.

“Matlamat kita mewujudkan satu asas yang kukuh di Pulau Pinang bagi sukan pickleball ini.

“Saya juga melihat pickleball amat sesuai dengan golongan pelajar kerana selain keseronokan dan kecergasan ia turut memupuk disiplin, kerjasama dan pemikiran strategik yang merupakan ciri-ciri penting kepada seorang pelajar,” katanya.

Teks & Gambar : NUR BATRISYIA IDRUS