Kluster kilang, industri penyumbang terbesar kes positif di Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Sektor perkilangan dan industri telah dikenal pasti sebagai penyumbang terbesar kepada kes-kes positif COVID-19 yang direkodkan di negeri ini.

Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berkata bahawa perkara tersebut adalah berdasarkan keputusan yang didapati daripada siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah negeri ini.

“Punca jangkitan kebiasaanya adalah menjurus kepada penempatan pekerja warga asing yang melibatkan percampuran antara lebih 10 kilang dalam satu penempatan atau asrama.

“Tambahan pula, kuarantin yang sempurna juga tidak dijalankan dengan baik kerana fasiliti rumah yang kurang sesuai dan sentiasa melebihi kapasiti yang dihadkan,” katanya pada sesi soalan lisan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-14 dekat Dewan Undangan Negeri di sini sebentar tadi.

Tambah Norlela, kajian analisis yang dilakukan oleh pakar matematik dari Stanford, Dr. David Benjamin Lim juga mendapati 70 peratus daripada jumlah keseluruhan 8,668 kes yang direkodkan dalam tempoh ini adalah berpunca daripada tempat kerja.

“Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, iaitu dari 1 Jun hingga 14 Julai 2021 sebanyak 6,222 kes daripada 9,668 kes yang direkodkan di negeri ini adalah berpunca daripada kluster tempat kerja terutamanya sektor perkilangan dan industri,” jelasnya lagi.

Norlela berkata, selain tempat kerja jangkitan kes COVID-19 di negeri ini juga adalah berpunca daripada penularan dalam komuniti yang tidak terkawal.

“Isu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lemah telah menyebabkan risiko jangkitan lebih tinggi dalam kalangan komuniti.

“Selain itu, jangkitan dari kilang dan sektor ekonomi turut melibatkan pekerja warganegara yang tidak tinggal di asrama pekerja.

“Pekerja-pekerja ini tinggal bersama keluarga masing-masing dan akan mengakibatkan penularan dalam kalangan ahli keluarga.

“Aktivit ekonomi dan sosial sepanjang Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 juga menjadi punca penularan COVID-19 di premis-premis seperti pasar, tapak bina dan pusat perniagaan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti.

Ditanya sama ada Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk menutup kilang-kilang yang mencetuskan kluster, beliau menegaskan bahawa perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD