GEORGE TOWN – Kerja-kerja pemasangan tiga bahagian rentasan utama atau rentang tuju ‘special span‘ lebuh raya bertingkat yang merintangi Sungai Keluang dekat Bayan Baru akan dihentikan serta-merta.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng bagaimanapun berkata, kerja-kerja susulan yang berisiko rendah atau langsung tiada risiko boleh dilaksanakan tiap-tiap hari mulai jam 11 malam hingga 5.30 pagi yang mana laluan tersebut akan ditutup pada tempoh masa itu bermula 18 Ogos 2015.
“Kerja-kerja membina ‘special span‘ ini mesti dihentikan serta-merta dan tidak boleh dijalankan sehingga suatu penilaian bebas dijalankan oleh jurutera perunding yang akan dilantik pihak Kerajaan Negeri, tetapi kosnya dibiayai oleh (pemaju) UEM Builders Bhd..
“Hanya selepas penilaian mereka siap dan diluluskan oleh jurutera perunding yang dilantik Kerajaan Negeri, barulah kerja-kerja menyiapkannya boleh dijalankan.
“Mereka (UEM) hanya dibenarkan melaksanakan kerja-kerja susulan yang mempunyai risiko amat rendah atau tidak ada sama sekali,” jelasnya pada majlis sidang media kepada wartawan di sini baru-baru ini.
Ketetapan itu dibuat selepas Guan Eng berbincang dengan Pengarah Kanan Cawangan Jalan Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Hasnul Mohamad Salleh dan Ahmad Fauzi Ali (Pengurus Projek UEM Builders Bhd.) yang turut hadir pada majlis sidang media berkaitan.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru), Mohd. Yusup Zahidin (Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Projek Khas Zon Utara JKR) dan Ir. Ismade Ismail (Pengurus Pemajuan bagi UEM Builders Bhd.).
Tambah Guan Eng, cadangan membuka semula jalan-jalan berwajib demi mengelak kesesakan trafik di kawasan pemajuan sekaligus turut berisiko kepada pengguna jalan raya.
Justeru, beliau mengarahkan JKR menggandakan pemantauan pada struktur binaan projek Kerajaan Pusat itu, demi mengelak insiden seperti runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang (JK2PP) yang meragut empat nyawa pengguna jalan raya tersebut pada awal bulan Jun 2013 daripada berulang lagi.
“Kalau langsung tidak mahu risiko, kena tutup jalan… memang ada risiko jika jalan ini dibuka semula, disebabkan krisis kesesakan yang begitu teruk apabila cadangan lencongan trafik gagal (secara berjadual) gagal dibaiki oleh JKR,” jelas beliau.
Difahamkan, tiga bahagian rentang tuju yang bakal dibina dalam projek tersebut umumnya adalah kedua terpanjang di Malaysia dengan berat keseluruhan konkrit adalah 14,000 tan.
“Binaan ini setinggi tiga tingkat bangunan, kira-kira 13 kali ganda lebih berat dari (bahagian konkrit penyambung) yang runtuh di Jambatan Kedua Pulau Pinang dahulu.
“(Rentang tuju) ini adalah paling besar di Malaysia untuk jalan empat laluan, sebab ada satu (rentasan tuju) di Sarawak sepanjang 180 meter untuk jalan dua laluan sahaja,” jelasnya.
if (document.currentScript) {