KM dapat cuba kapal selam selepas tunggu 21 bulan

KETUA Menteri mencuba peralatan teropong di dalam kapal selam KD Tun Razak

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN LILIAN & LAW SUUN TING

KETUA Menteri, Mansor Othman (kanan sekali) dan P. Ramasamy (dua dari kiri) menunjukkan sijil yang diterima selepas berjaya menyelam di dalam kapal selam KD Tun Razak di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri, Mansor Othman (kanan sekali) dan
P. Ramasamy (dua dari kiri) menunjukkan sijil yang
diterima selepas berjaya menyelam di dalam kapal
selam KD Tun Razak di sini baru-baru ini.

LANGKAWI – Selepas 21 bulan menunggu, akhirnya Menteri Pertahanan secara rasminya membenarkan Ketua Menteri menyelam di dalam kapal selam KD Tun Razak (KDTR) yang juga dikenali sebagai ‘Scorpene’ bersempena penganjuran Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA’11) di sini baru-baru ini.

Ini adalah lanjutan daripada soalan Ketua Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di Parlimen kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang ingin mengesahkan pembelian dua kapal selam yang mahal menggunakan wang rakyat Malaysia.

Kenyataan Ketua Menteri sebelum ini menyatakan bahawa penglibatan wang awam sebanyak RM4.23 bilion terlibat di dalam pembelian dan penyelenggaraan dua kapal selam tersebut. Malah, persoalan terus kekal berhubung kos pembelian tinggi dan pemberian kontrak perkhidmatan kepada syarikat yang tidak mempunyai rekod ataupun pengalaman di dalam membaiki dan menyelenggara kapal selam.

Ekoran itu, pada 17 Mac 2010, Ahmad Zahid telah mencabar Guan Eng untuk menyelam di dalam kapal selam tersebut bagi membuktikan bahawa ia (kapal selam) dapat menyelam apabila beliau (Ahmad Zahid) tidak dapat memberikan jawapan terhadap desakan Guan Eng bahawa Kerajaan telah memulangkan kapal selam tersebut kepada pengeluar asal untuk digantikan dengan yang baru apabila mendapati ia gagal berfungsi.

Umumnya, Guan Eng dengan segera menerima jemputan tersebut tetapi tanpa disedari ia perlu mengambil masa 21 bulan untuk Ahmad Zahid memenuhi cabarannya.

Ketika menerima jemputan tersebut di Langkawi, Guan Eng ditemani Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman dan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy.

KETUA Menteri mencuba peralatan teropong di dalam kapal selam KD Tun Razak
KETUA Menteri mencuba peralatan teropong di dalam kapal selam KD Tun Razak

Ketua Menteri dan Timbalan-timbalan beliau tiba di Lapangan Antarabangsa Langkawi (LIA) sekitar jam 1.30 petang sebelum diterbangkan menaiki helikopter RMN Super Lynx ke Awana Porto Malai di mana beliau dan timbalan beliau akan menaiki kapal selam KDTR.

Selain itu, Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Jamil Osman mengiringi Ketua Menteri dan delegasi menaiki KDTR serta beberapa wakil media rasmi LIMA’11. Ketua Menteri dan delegasi dibawa sejauh kira-kira 40 batu nautika dari jeti Awana Porto Malai dengan kedalaman mencecah 50 meter.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak menyelam bersama Ketua Menteri sebagaimana dijanjikan.

Pada awalnya, bloger Papagomo sepatutnya dibawa bersama, tetapi Guan Eng telah membantah kerana beliau tidak ingin berada di dalam kapal selam sama bersama seorang penipu yang membuli anak-anak muda, yang mana membuat kenyataan palsu seksual terhadap anak lelakinya berusia 15 tahun mencabuli rakan sekelasnya.

“Saya tidak pernah berjumpa papagomo dan Zahid (Ahmad Zahid) telah berjanji bahawa Papagomo akan dikeluarkan. Semasa menyelam, saya ternampak dua krew TV3 dan seorang wartawan Bernama. Zahid (Ahmad Zahid) sepatutnya menjelaskan bahawa beliau tidak menipu saya dan juga pihak media,’’ kata Ketua Menteri di dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, tiada pertikaian profesionalisme, kepakaran dan pengorbanan pasukan tentera laut negara di sini, termasuk pasukan kapal selam Malaysia.

“Sebaliknya, kerajaan BN perlu sedar bahawa ia bukan hanya membabitkan wang awam yang banyak berjumlah RM4.23 bilion, malah, keselamatan kelasi adalah amat penting bagi memastikan standard tertinggi atau keselamatan dan kawalan adalah diselenggara oleh pakar syarikat perpengalaman dengan trek rekod terbukti,’’ tegas beliau.