Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
PERAI – Pekerja Taman Perindustrian Perai kini boleh menggunakan jalan yang baharu siap dibina di Tingkat Perusahaan 4C di sini untuk pergi dan balik melalui Jambatan Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, jalan akses sepanjang 81.5 meter itu dibina hasil perancangan berdasarkan hasil.
Justeru, katanya lagi, semua pekerja diharap tidak lagi menempuhi kesesakan jalan raya pada waktu masuk dan keluar berkerja di sini.
“Ini adalah satu projek CSR (tanggungjawb sosial korporat) oleh PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) yang telah dijalankan dengan kos lebih RM1 juta.
“Pembinaan jalan masuk ini adalah berdasarkan pada maklum balas daripada pekerja-pekerja di kawasan perindustrian di sini,” ujar beliau pada majlis perasmian di sini baru-baru ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Datuk Rosli Jaafar (Pengurus Besar PDC) dan Datuk Ar. Patahiyah Ismail (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang, MPPP) turut hadir pada majlis tersebut.
Terdahulu, Guan Eng berkata, Tingkat Perusahaan 4C adalah jalan mati.
Namun, katanya lagi, kerjakerja pemajuan dimulakan pada bulan Ogos tahun lepas dan siap pada 15 Jun tahun ini.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menjelaskan sebab projek pemajuan itu tidak dapat disiapkan mengikut jadual, iaitu pada 30 November tahun lepas.
Menurut beliau, kabel-kabel bervoltan tinggi berada di bawah tanah kawasan pemajuan, lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) memerlukan lebih masa untuk kerjakerja pemindahan.
“Apabila membina longkang, kontraktor meletakkan kabel voltan tinggi yang dimiliki oleh TNB di kawasan itu.
“TNB, kemudiannya bersetuju untuk menukar tempat kabel,” ujar beliau.