GEORGE TOWN – Insiden rompakan yang meragut nyawa seorang warga emas, Chin Lee Wong, 83 serta menyebabkan kecederaan kritikal isteri mangsa, Chang Yook Kee, 71, baru-baru ini menerima kecaman Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.
Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih semasa melawat mangsa di Hospital Pulau Pinang, di sini, meminta Kerajaan Pusat dan polis mengambil langkah keselamatan berwajib, ekoran, insiden tersebut.
Saya berharap pihak polis dapat menyiasat dan menangkap pihak yang bertanggungjawab atas serangan yang keji ini.
“Saya juga berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan sedar keperluannya untuk menghantar lebih ramai anggota polis ke negeri Pulau Pinang kerana walaupun daerah-daerah terpencil, seperti Balik Pulau (kerana) mereka juga memerlukan kehadiran polis untuk memastikan keamanan,” kata Guan Eng sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, baru-baru ini.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut menyerah sumbangan ihsan sebanyak RM2,000 kepada waris warga emas tersebut.
Dalam perkembangan sama, beliau berharap, semua pihak termasuk komuniti pedalaman supaya progresif memberi kerjasama kepada polis demi memulihara semula tahap keselamatan di negeri ini.
Itu, katanya, termasuk membuat aduan apabila melihat sesuatu yang tidak kena di komuniti masing-masing.
“Walaupun kadar jenayah di bandar raya menurun, ia tidak bermakna jenayah dahsyat tidak akan berlaku.
“Pihak polis mestilah memberi tumpuan di kawasan terpencil dan yang tidak mempunyai CCTV,” katanya.
Perkembangan terbaru itu menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri dalam merealisasikan Kempen Pulau Pinang Bersih, Hijau, Selamat dan Sihat.