Oleh : MARK JAMES
BATU KAWAN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini menyempurnakan Majlis Pecah Tanah bagi tujuan pemajuan kilang Haemonetics Corporation (www.haemonetics.com) di Taman Perindustrian Batu Kawan di sini.
Semasa berucap, beliau melahirkan rasa gembira kerana syarikat peranti perubatan terkemuka Amerika Syarikat (AS) itu memilih Pulau Pinang sebagai pengkalan operasi barunya ke seluruh rantau Asia Pasifik.
“Saya ingin mengalu-alukan syarikat yang sebenarnya mengitar semula darah ke negeri kita.
“Pulau Pinang juga menekankan kepentingan mengitar semula dan Haemonetics secara ringkasnya menggunakan darah pesakit sendiri, membersihnya dan memulangkan darah kepadanya merupakan proses mengitar semula darah pertama di dunia.
“Memanglah sempurna dengan ‘DNA Penang’ yang mengitar semula,” seloroh Guan Eng pada majlis perasmian tersebut.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Haemonetics Corporation, Brian Concannon turut hadir pada majlis itu. Difahamkan, projek pelaburan bernilai beratus juta ringgit itu di atas tanah berkeluasan 12 ekar dan operasinya dianggarkan membabitkan kira-kira 700 pekerja.
Memetik data Association of Malaysian Medical Industries (AMMI), Guan Eng berkata, eksport alatan perubatan negara berjumlah RM12.9 bilion.
Tambah beliau, data Espicom Business Intelligence, iaitu satu unit dari Business Monitor International yang dipetik menunjukkan pasaran global teknologi perubatan dijangka tumbuh 4.4 peratus setahun, mencapai angka AS$440 bilion.
Justeru, Guan Eng berkata, inisiatif Haemonetics Corporation untuk membangunkan industri tempatan di Pulau Pinang, sekaligus, akan memperkasakan pegangannya atas industri alatan perubatan itu sendiri.
Sebelum itu, Brian berkata, Pul au Pinang dipilih sebagai destinasi pelaburan kerana status negeri berkenaan mempunyai akses pada tenaga mahir serta produktiviti berkualiti tinggi.
“Kami juga menghargai semua bantuan dan sokongan yang diberi oleh Kerajaan Negeri. Kami melihat usaha ini untuk memanfaatkan kita Haemonetics dan negeri Pulau Pinang pada masa yang sama,” kata Brian.
Terdahulu, Naib Presiden Eksekutif Pengeluaran Global Haemonetics Corporation, David Helsel dalam satu kenyataan lain dilaporkan berkata, pemilihan Pulau Pinang dipercayai mampu mendekatkan syarikat antarabangsa itu dengan pelanggan-pelanggan di rantau ini.
Manakala, Naib Presiden Kejuruteraan Global Haemonetics Corporation, Sudhakar Varshney pula dilaporkan berkata, Pulau Pinang diiktiraf menawarkan infrastruktur yang baik, mampu membekalkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta mempunyai persekitaran perubatan yang kukuh.