KM perjelas punca PDC ditegur Laporan Ketua Audit Negara 2013

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberi penjelasan mengenai prestasi tadbir urus Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang disebut kurang memuaskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 baru-baru ini.

Laporan itu menyebut daripada 31 projek diuruskan PDC Setia Urus (PDCSU), lapan perjanjian tidak disediakan, perjanjian lewat ditandatangani (2) dan perjanjian telah tamat tempoh selama setahun (1).

“Semua perjanjian dalaman antara syarikat induk (PDC) dengan anak syarikatnya (PDCSU), dan ini bukanlah membabitkan pihak ketiga (luaran),” ujarnya
kepada wartawan baru-baru ini sambil memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan berusaha memperbaki kelemahan tersebut kelak.

Pengurus Besar PDC merangkap Pengurus PDCSU, Datuk Rosli Jaafar turut menyertai sidang media tersebut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Guan Eng turut menjelaskan bahawa kesemua lima Akaun Penyelenggaraan Bangunan (APB) berwajib telahpun dibuka susulan ditegur dalam laporan tersebut.

Katanya, sebanyak 17 projek perumahan diurus PDCSU yang mencatatkan kerugian RM2.74 juta bagi tempoh 2011 hingga 2013 sebenarnya berpunca daripada aktiviti pembiayaan kos penyelenggaraan perumahan-perumahan sedia ada berwajib.

“Ini boleh dianggap sebagai CSR (tanggungjawab sosial korporat) kerana caj penyelenggaraan yang dikenakan terlalu rendah dan banyak yang tidak dibayar oleh penduduk.

“Apabila penghuni tidak mahu bayar atau  caj penyelenggaraan yang terlalu rendah sampai RM12 (sebulan), tak cukup untuk kos penyelenggaraan 17 projek perumahan yang diserah urus kepada PDCSU, maka berlakulah kerugian.

“Bagaimanapun, untung bersih terkumpul tiap-tiap tahun (sehingga 2012), kita (PDC) masih untung walaupun PDCSU rugi kerana biaya CSR untuk 17 projek tersebut,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Guan Eng turut menjelaskan mengenai teguran Laporan Ketua Audit Negara 2013 negeri yang menyebut sehingga bulan Disember 2013, caj perkhidmatan tertunggak belum dijelaskan pemilik bangunan bagi projek komersial Komtar dan projek perumahan adalah berjumlah RM25.37 juta.

“Caj terlalu rendah pun tak dapat kutip dan jangan fikir untuk menaikkan harga lah…tunggakan berjumlah RM25.37 juta kerana masalah mereka tak bayar,” katanya.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, Laporan Ketua Audit Negara 2013 negeri menyebut bahawa Audit berpendapat, walaupun keuntungan tahun 2012 menurun, namun, kedudukan kewangan PDCSU adalah masih berada di tahap memuaskan kerana keuntungan terkumpul menunjukkan peningkatan pada setiap tahun.