KM rai 50 pelajar cemerlang STPM 2011

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Seramai 50 orang pelajar dan tiga buah sekolah yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun lalu (2011) telah diraikan dalam satu Majlis Anugerah Cemerlang STPM 2011 bertempat di Auditorium A, Komtar di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, peruntukan yang disediakan Kerajaan Negeri bagi meraikan pelajar cemerlang adalah meningkat dari tahun ke tahun.

“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan lebih kurang RM30,250 pada tahun ini (2012) untuk diagihkan kepada pelajar-pelajar cemerlang negeri Pulau Pinang.

“Malah, peruntukan ini dilihat meningkat saban tahun, di mana bagi tahun 2010 (RM26,650), 2009 (RM19,850) dan 2008 (RM13,800) telah disumbangkan kepada anak-anak tempatan yang berjaya tanpa mengira latar belakang, kaum dan jantina,’’ katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang STPM di sini baru-baru
ini.

Tambah beliau, bukan setakat itu, pada tahun 2012, pemberian wang telah dinaikkan kepada RM500 berbanding tahun lepas sebanyak RM400. Pada masa sama, wang ganjaran turut diberikan kepada pelajar terbaik mengikut kategori, pelajar istimewa (khas) dan sekolah terbaik.

“Sememangnya wang yang diperoleh ini adalah 100 peratus daripada sumber halal hasil daripada kempen anti-rasuah dan lebihan bajet yang dicapai semenjak Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat menggunakan urus tadbir CAT (Cekap, Akauantabel, Telus),” jelas beliau.

Sementara itu, bagi salah seorang penerima yang merupakan pelajar Penang Free School (PFS), Edi Afiq, 20, berkata, dia tidak menyangka akan menjadi salah seorang daripada pelajar paling cemerlang bagi kategori Pelajar Terbaik Melayu pada hari tersebut.

“Ini adalah hasil ganjaran berkat usaha dan penat lelah selama dua tahun. Dengan anugerah ini tertebus lah kembali kegagalan saya ketika Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dulu yang hanya memperoleh keputusan cukup makan sahaja,” jelasnya yang bercita-cita menjadi seorang pendidik kelak.

Tidak ketinggalan adalah tiga buah sekolah iaitu Jit Sin, Chung Ling George Town dan Chung Ling Butterworth yang turut diraikan apabila dinobatkan sebagai Sekolah Terbaik STPM tahun lalu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Yusoff Wazir dan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Peperiksaan, Pauzi Omar.

PARA  pelajar tidak melepaskan peluang bergambar kenang-kenangan bersama Ketua Menteri dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat bersempena Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang STPM di sini baru-baru ini.
PARA pelajar tidak melepaskan peluang bergambar kenang-kenangan bersama Ketua Menteri dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat bersempena Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang STPM di sini baru-baru ini.