Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SHUM JIAN-WEI
GEORGE TOWN – Pelukis terkenal, Syed Thajudeen Shaik Abu Talib mengadakan Pameran Retrospektif di sini baru-baru ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pelukis kelahiran Pulau Pinang itu kerana dipilih sebagai artis Malaysia ke-sembilan diberi anugerah berprestij Galeri Seni Pulau Pinang (PSAG).
“Pameran retrospektif disertai monograf yang baik kepada artis ini adalah pengiktirafan tertinggi Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk pencapaian seorang artis Malaysia yang cemerlang,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam pada majlis berkaitan di sini baru-baru ini.
Difahamkan, Thajudeen dilahirkan di “Little India” di tengah-tengah George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Beliau begitu banyak melakukan pameran berkumpulan di tanah air ini, sebelum ini. Dalam sembilan kali pameran solo yang pernah dilakukannya, Thajudeen merupakan individu pertama membuat pameran solo di Muzium Seni dan Galeri Pulau Pinang pada tahun 1975.
Kini, Thajudeen adalah penerima ke-sembilan anugerah PSAG pada tahun ini, selepas, Cheung Poooi Yip (2014), Tan Chiang Kiong (2013), Chong Hon Fatt (2012), Eric Quah (2011), Ismail Hashim (2010), Datuk Tay Mo Leong (2009), Lee Joo For (2008) dan Khoo Sui Hoe (2007).
Guan Eng dalam ucapannya turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri menyokong usaha PSAG untuk mengenali artis Malaysia melalui pameran retrospektif serta mengumpul hasil kerja-kerja mereka, supaya Himpunan Tetap yang berkualiti dapat diwujudkan secara beransur-ansur di Pulau Pinang.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang setakat ini menyediakan geran sebanyak RM500,000 untuk tujuan ini.
“Saya berharap untuk melihat pengambilalihan baru Himpunan Tetap PSAG dalam pameran yang dirancang pada 2016,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.
Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut merakamkan penghargaan kepada Rokiah Ismail kerana kurator undangan Pameran Retrospektif Syed Thajudeen berkenaan begitu rajin dan dedikasi dalam menghasilkan pameran yang luar biasa serta mengedit monograf 320 halaman tersebut.
Selain Rokiah, Pengerusi Balai Seni Lukis Pulau Pinang, Datuk Tang Hon Yin dan Pengarah Muzium & Balai Seni Lukis Pulau Pinang, Haryany Mohamad turut hadir pada majlis tersebut.