GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pagi tadi memberi respons berhubung kanyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin kononnya agihan portfolio kepada barisan Exco Kerajaan Negeri adalah tidak seimbang.
Menurut Kon Yeow, agihan di Pulau Pinang adalah tidak jauh berbeza dengan formula pelantikan anggota kabinet Kerajaan Persekutuan sendiri.
Contohnya, menurut Kon Yeow, pelantikan Perdana Menteri Ke-7 bukanlah berdasarkan jumlah perwakilan terbanyak bagi satu-satu parti dalam komponen Pakatan Harapan sendiri.
“Jika nak ikut jumlah kerusi, perdana menteri sepatutnya dari parti lain, namun dengan keputusan yang dipersetujui dalam parti, maka ia perlu diterima dan dihormati.
“Jika pemilihan Exco (Kerajaan Negeri) dibuat berdasarkan mengikut (bilangan) kerusi, maka, perdana menteri sepatutnya dari parti lain dan tak perlu saya sebut parti mana.
“Kerajaan Persekutuan melantik 26 menteri yang bertanggungjawab ke atas 27 portfolio yang berbeza.
“Kerajaan Pulau Pinang mempunyai 11 orang Exco yang bertanggungjawab ke atas 30 portfolio.
“Oleh itu, 30 portfolio itu perlu diagih antara 11 Exco dan ianya tidak jauh berbeza dengan menteri Kabinet,” katanya di dalam Sesi Jawapan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-14 pada 7 Ogos di sini.
Sebelum itu, Norlela iaitu wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertikai pelantikan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, yang didakwa tidak seimbang berdasarkan jumlah ADUN Pakatan Harapan di negeri ini.
Lantas, Kon Yeow memberitahu, buat julung kalinya Kerajaan Negeri membuka ruang bagi ketiga-tiga ADUN Pembangkang memilih untuk menganggotai jawatankuasa tetap portfolio di bawah mana-mana Exco Kerajaan Negeri.
Penjelasan itu sekaligus menyanggah satu lagi dakwaan Norlela, kononnya beliau dinafikan hak untuk menyertai jawatankuasa tetap portfolio Tebatan Banjir.
Norlela mengaku berhasrat menyertai 13 portfolio di bawah mesyuarat jawatankuasa tetap Exco Kerajaan Negeri, tapi dipilih menyertai tiga sahaja iaitu MMK Keusahawanan, Koperasi dan Pembangunan Luar Bandar.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS