GEORGE TOWN – Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berhubung mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negera (MPFN) semalam tidak membuat sebarang kelulusan atau persetujuan ke atas Cadangan Projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR), patut tidak berbangkit lagi.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, MPFN dalam mesyuarat itu telahpun melaksanakan tugas-tugas majlis, berdasarkan subseksyen 2A(2)(b) Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172), iaitu memberi nasihat terhadap permohonan PSR.
Jelasnya, subseksyen berkenaan menyebut tugas-tugas MPFN adalah ‘…untuk menasihati Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan mana-mana Negeri, mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan perancangan bandar dan desa yang dikehendaki di bawah Akta ini…’
Justeru, Kon Yeow menyeru semua pihak supaya kembali berpegang kepada peruntukan pada akta tersebut.
“Persoalan (PSR) ini masih belum mendapat kelulusan adalah tidak berbangkit lagi.
“Kalau dibaca pada kenyataan saya sejelas-jelasnya, saya tidak bercakap soal kelulusan, saya hanya bercakap mengenai setuju untuk dilaksanakan, tertakluk kepada pematuhan 18 nasihat dan lain-lain ulasan teknikal
“Berdasarkan Akta, fungsinya (MPFN) adalah memberikan nasihat…maka, kita konsistan berdasarkan akta ini,” respons beliau pada sidang media di Komtar 19 April 2019.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus turut sertai sidang media tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : DARWINA MOHD. DAUD