KM seru P.Pinang pertahan semangat Malaysia

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyeru seluruh warga Pulau Pinang supaya mempertahankan semangat keMalaysiaan sempena sambutan Hari Malaysia Ke-50 peringkat negeri baru-baru ini.

Tek ucapan Guan Eng dibaca oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, manakala, Yang Di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Tun Abdul Rahman Abbas pula menyempurnakan upacara perasmian majlis.

“Kini sudah genap 50 tahun, kita harus menilai sejauh manakah kita dapat mengecapi kejayaan atau kemajuan yang disasarkan dalam Janji Merdeka dan Persekutuan Malaysia.

“Janji-janji kebebasan, kebenaran, keadilan dan demokrasi yang menjamin kemakmuran ekonomi serta keadilan sosial sepatutnya telah dicapai, namun, kita masih dapat melihat kemiskinan, kemungkaran, kejahilan, masih berlaku di negara ini,” ujar Mohd. Rashid di Dewan Sri Pinang di sini.

Hadir bersama, Speaker Dewan Undangan Neger (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang.

Mohd. Rashid berkata, pentadbiran Guan Eng akan terus melaksanakan polisi tadbir urus berintegriti yang dikenali sebagai Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT).
Justeru, Mohd Rashid berkata, kepemimpinan Kerajaan Negeri menyeru semua pihak supaya bersama-sama memerangi kemiskinan, rasuah, jenayah, kejahilan dan penyalahgunaan kuasa demi mendaulatkan undang-undang serta memartabat manusia sejagat.
Sementara itu, Abdul Rahman menyempurna majlis penyampaian hadiah kepada wakil kontinjen yang menyertai saingan perbarisan  sempena Hari Kemerdekaan Ke-56 di Bagan, 31 Ogos lepas.
Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam memenangi kategori institusi pengajian tinggi awam (IPTA), TM Berhad (juara kategori NGO & Swasta), Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (juara kategori badan kerajaan) dan Sekolah Kebangsaan St. Xavier (juara kategori pancaragam sekolah).
Johan membawa pulang hadah berupa wang tunai RM 1,500, RM1,000 (naib johan) dan RM750 (tempat ketiga).
Dalam perkembangan sama, Perbadanan Perpustakaan Awam  Pulau Pinang (PPAPP) dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Lebuh Light masing-masing membuat persembahan pentas kior dan coral speaking pada temasya malam Hari Malaysia baru-baru ini.