KM seru Pusat bina SMJKT pertama negara di Pulau Pinang

BAGAN JERMAL – Sempena sambutan Deepavali, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sekali lagi merayu Kerajaan Persekutuan supaya membiayai kos pembinaan sekolah menengah jenis kebangsaan Tamil (SMJKT) pertama negara di Pulau Pinang, dengan Kerajaan Negeri sanggup menyediakan sebidang tanah sebagai tapak sekolah tersebut di Parlimen Bagan.

Beliau berkata demikian sebelum menyampaikan cek sumbangan RM110,000 kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mak Mandin, termasuk RM10,000 untuk keperluan tadika-tadika di sini.

“Sekolah tadika Tamil terbesar negara adalah di Pulau Pinang.

“Saya fikir pemberian peruntukan khusus setiap tahun kepada sekolah tadika aliran Tamil yang Kerajaan Negeri lakukan ini mungkin pertama di Malaysia.

“Sungguhpun keadaan SJKT di Pulau Pinang hari ini adalah lebih baik, tapi kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) nak buat lebih baik, kita nak Kerajaan Pusat meluluskan pembinaan sekolah menengah Tamil (SMJKT) pertama Malaysia di Pulau Pinang,” serunya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam pada majlis berkaitan baru-baru ini

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng yang juga ADUN Bagan Jermal dan ADUN Bagan Dalam, A. Tanasekharan serta Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan memberitahu, apa salah kiranya Kerajaan Pusat menunjukkan rasa cakna kepada kaum India di tanah air ini, sebagaimana Kerajaan Negeri telahpun laksanakan di Pulau Pinang sejak tahun 2008.

Tambah beliau, sejak tahun 2009, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1,022,368 tidak termasuk RM356,737 pemberian daripada peruntukan khas Ketua Menteri untuk pembangunan sekolah-sekolah Tamil di negeri ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng menyatakan bahawa sehingga tahun 2017, kerja-kerja penarafan yang telahpun disempurnakan Kerajaan Negeri di sekolah berkenaan antaranya dewan terbuka, naik taraf kelas, makmal komputer, bilik pembelajaran ala abad 21, kemudahan berjalan, tandas, bilik guru, prasarana bilik darjah dan bukubuku perpustakaan, serta elaun dan LCD untuk kelas pra sekolah.