KM seru rakyat tidak lupa pengorbanan perwira negara

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

PADANG KOTA – Sempena Hari Peringatan (Remembrance Day) yang disambut di seluruh dunia pada 11 November setiap tahun, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengingatkan supaya masyarakat tidak lupa akan pengorbanan perwira-perwira yang berjuang dalam beberapa siri peperangan di negara ini khususnya di Pulau Pinang demi mencapai keamanan dikecapi hari ini.

Katanya, ‘peperangan’ kini bukan lagi berbentuk pembunuhan sesama manusia, sebaliknya, ‘perang’ terhadap kejahilan, ketidakadilan, kemiskinan, extrimis, wabak penyakit, perkauman dan rasuah.

“Justeru, bersama-samalah kita ‘berperang’ menangani permasalahan dunia moden ini,” katanya pada majlis berkenaan yang juga merupakan sambutan ke-100 tahun bermulanya Perang Dunia Pertama (1914-1918) di Tugu Peringatan (The Cenotaph), Esplanade di sini baru-baru ini.

Setiap tahun pada 11 November merupakan hari memperingati wira-wira perang dan mereka yang meninggal dunia dalam peperangan demi menjaga maruah, daulat dan kebebasan bangsa serta negara.

Antaranya, peristiwa Perang Dunia I (1914-1918), Perang Dunia II (1939-1945), Peristiwa Landasan Maut Nong Pladuk Siam –Thanbyuzayat Burma (1942-1945), Darurat Tanah Melayu (1948-1960), Konfrontasi Indonesia (1962-1965) dan Peristiwa Pemberontakan Komunis (1972-1990).

Majlis anjuran Persatuan Veteran Keselamatan (PVA) Pulau Pinang tersebut dihadiri Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan barisan pimpinan Kerajaan Negeri.

Turut serta, pegawai-pegawai dan anggota-anggota pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut di-Raja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara di-Raja Malaysia (TUDM).

Hadir sama, pelbagai rejimen termasuk dari Great Britain, Australia, New Zealand, Singapura, Kepulauan Fiji, Nepal, Kesatuan Rhodesia dan Nyasaland dan Thailand.

Dalam pada itu, Presiden PVA Pulau Pinang, Mejar (B) R. Sivarajan berkata, masyarakat hari ini perlu menolak apa-apa anasir yang cuba merosak dan memecahbelahkan masyarakat.

“Konflik dan peperangan yang pernah berlaku sentiasa dikenang dan diingati, tidak lupa juga pengorbanan perwira-perwira kita dahulu dalam memperjuangkan tanah air untuk kita hari ini,” ujar beliau.