KM tanya mengapa sabit Anwar salah dikecam dunia

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Sabitan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Persekutuan pada 10 Februari lepas memburukkan lagi imej Kerajaan Malaysia atau sebaliknya, tanya Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, Mark Trowell umpamanya selaku pakar perlembagaan bagi Majlis Undang- Undang Australia merangkap wakil Kesatuan Antara Parlimen (IPU) sedunia berpengkalan di Geneva pun mempertikai keputusan Mahkamah Tinggi Persekutuan Putrajaya ke atas Anwar.

“Beliau (Mark Trowell) menyatakan bahawa mengapa hubungan rapat Mohd. Saiful Azlan Bukhari dengan seorang ahli politik dan pendakwa tidak diambil kira.

“Kalau ini (perbicaraan kes Fitnah Liwat II) berlaku di negara lain, serta-merta kes ini akan kena buang.

“Saya harap Kerajaan Malaysia boleh bertanya dengan diri sendiri, mengapa satu dunia kecam keputusan yang dibuat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tidak ada satu negara yang menyokong keputusan (Mahkamah Tinggi Persekutuan) ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau satu dunia cakap anda salah, takkan anda cakap satu dunia yang salah,” tanya Guan Eng di depan lebih 1,000 hadirin  pada Majlis Malam Sanjungan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa sabitan bersalah dalam Kes  Liwat II tersebut adalah suatu konspirasi pihak tertentu, sebagaimana dalam peristiwa pemecatan Anwar sebagai timbalan perdana menteri pada tahun 1997 dulu.

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan  Ismail serta anak sulungnya, Nurul Izzah Anwar turut berucap pada majlis penerangan yang dipengerusikan Dr. Afif Bahardin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) dan Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan Mohamad Sabu (Ahli Lembaga Pengarah bagi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, PBAPP) turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Ahli Parlimen Nibong Tebal merangkap Pengerusi Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP), Dato’ Mansor Othman, Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru), Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam), Lee Khai Loon (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Machang Bubok) dan Dr. Norlela Othman (ADUN Penanti).

Difahamkan, Mark Trowell dalam kenyataannya antara lain dilaporkan mengkritik ketetapan hakim berkelompok yang mengabaikan isu-isu kreadibiliti sekitar pengadu dan bukti-bukti utama sepanjang proses perbicaraan tersebut berlangsung.

Menurutnya, kesaksian Mohd. Saiful Bukhari disifatkan “cetek” memandangkan bekas pembantu peribadi Anwar itu mempunyai hubungan langsung dengan seorang ahli politik negara serta anggota tertentu daripada pihak pendakwaan.

Sebelum itu, Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai dalam ucapannya mengakui bahawa Anwar pernah menolak tawaran timbalan perdana menteri kerana kesetiaannya mahu bersama-sama Pakatan Rakyat (PR) dalam melangsungkan agenda reformasi menyeluruh dalam sistem pentadbiran tanah air kelak.

Kemuncak pada majlis perhimpunan itu adalah pelancaran kempen “March To Freedom” peringkat negeri, iaitu suatu pergerakan politik yang menggabungkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) demi menuntut Kerajaan Malaysia menghentikan tahanan politik ke atas Anwar.

Dalam perkembangan terbaru, keluarga Anwar sendiri dilaporkan membuat petisyen pengampunan kepada Yang Di-Pertuan Agong, sebagaimana dibolehkan menurut Perkara 48(4) Perlembagaan Persekutuan.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);