KM terima kunjungan DPMPP

GEORGE TOWN – Barisan pimpinan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP) mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di pejabat beliau di Komtar, lewat petang semalam.

Delegasi seramai 20 orang yang diterajui Presiden DPMPP, Rizal Faris Mohideen, mengadakan perbincangan selama kira-kira 90 minit bersama-sama Ketua Menteri.

Selain membincangkan hala tuju DPMPP, pemerkasaan pembangunan usahawan Melayu Bumiputera, perkhidmatan pelancongan, galakan menguasai ekonomi digital dan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan untuk golongan B40 adalah antara intipati utama yang diutarakan.

ANTARA delegasi Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang yang hadir.

Kon Yeow dalam pada itu turut berharap agar perbincangan tidak terhenti dengan pertemuan tersebut, sebaliknya diteruskan ke arah memartabatkan ekonomi Melayu Bumiputera khasnya di negeri ini.

DPMPP merupakan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang telah wujud sejak enam dekad lalu sebagai badan amanah dalam bidang perniagaan dan ikhtisas Melayu Bumiputera dengan 15 cawangan dan lebih 6,000 ahli di seluruh negara.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD