KM terima kunjungan hormat Jabatan Kesihatan, bincang isu kebersihan premis dan wabak

CHOW Kon Yeow menerima kunjungan Dr. Wan Mansor Hamzah (empat dari kiri) dan delegasi JKNPP di Komtar hari ini.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) di pejabat beliau dekat Komtar.

Kunjungan delegasi berkaitan  diketuai Pengarah JKNPP, Datuk Dr. Wan Mansor  Hamzah dengan ditemani enam wakil jabatan.

Dalam pertemuan berkenaan, antara yang dibincangkan adalah tentang masalah wabak denggi, kebersihan premis-premis makanan, kebersihan persekitaran serta gerai-gerai makanan.

Menurut Wan Mansor, inisiatif Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang ke arah sebuah negeri bersih, hijau, sihat dan selamat wajar menerima pujian namun masih memerlukan penglibatan rakyat secara menyeluruh agar usaha tersebut tidak menjadi sia-sia.

Selain itu, masalah aliran lalu lintas serta isu banjir berhampiran pusat kesihatan dan hospital, polisi pembersihan berkala restoran 24 jam turut dibangkitkan kepada Kon Yeow.

Menurut Kon Yeow kebersihan premis dan gerai makanan di Pulau Pinang sentiasa diambil berat oleh pihaknya melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memandangkan Pulau Pinang merupakan destinasi ‘syurga makanan’.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN