GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan daripada Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang, Pang Ah Lek di pejabatnya dekat Komtar semalam.
Kunjungan jam 5:15 petang disertai empat anggota APM berlainan pangkat, berlangsung selama 30 minit.
Selain menjelaskan tentang peranan dan fungsi APM di Pulau Pinang, turut menjadi topik perbualan adalah berhubung pengurusan bencana dan kecemasan di peringkat komuniti.
Malah, APM turut menyuarakan hasrat untuk menubuhkan Pasukan Respons Kecemasan Pertahanan Awam atau lebih dikenali sebagai CDERT (Civil Defense Emergency Response Team) di kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan bencana.
Difahamkan, penubuhan CDERT itu adalah untuk menggalakkan komuniti setempat tampil membantu APM dalam memberikan bantuan sama ada ketika berlakunya bencana mahupun kecemasan.
Ditubuhkan sejak 1951, APM Pulau Pinang kini mempunyai lebih 100,000 anggota kekal dan sukarela yang aktif.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD