KM umum RM12 juta bangun semula Pasar Awam Seberang Jaya

SEBERANG JAYA – Cadangan pembangunan semula Pasar Awam dan Kompleks Penjaja Seberang Jaya di atas sebidang tanah berkeluasan 4.5 ekar di sini sekaligus menyerlahkan kemampuan Kerajaan Negeri dalam memajukan infrastruktur awam di Parlimen Permatang Pauh.

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, projek di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) itu
dianggarkan menelan belanja RM12 juta.

“Kedudukan pasar awam dan pusat penjaja ini yang sangat strategik, iaitu, di tengah-tengah Bandar Seberang Jaya dan menjadi tumpuan bukan sahaja daripada kalangan penduduk Sebarang Jaya, malah dari luar daerah.

“Projek ini akan memberi imej baru kepada penduduk dan peniaga-peniaga di pasar awam dan pusat penjaja Bandar Seberang Jaya, dan, akan menjadi suatu tanda aras yang baru bagi pembinaan pasar-pasar awam dan kompleks penjaja di negeri Pulau
Pinang,” ujarnya pada sidang media di Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin, Dr. Norlela Ariffin (ADUN Penanti), Wong Hon Wai
(Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri), Datuk Rosli Jaafar (Pengurus Besar PDC), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua MPSP), Dato’ Mansor Othman (Pengarah Yayasan Islam Pulau Pinang) dan Omar Hassan (Ahli Majlis MPSP) antara pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir pada sidang media tersebut.

Hadir sama, ADUN Kajang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Guan Eng, daripada RM12 juta anggaran kos pemajuan itu, RM3.8 juta untuk pembinaan pusat awam dan kompleks penjaja, RM3.6 juta (pusat penjaja), RM2.6 juta (infrastruktur dan tapak parkir) dan RM2 juta (kos penempatan semula penjaja).

“Komponen pembangunan semula pasar awam dan kompleks penjaja ini terdiri daripada pasar awam berjumlah 163 unit, gerai penjaja (90 unit) dan tapak gerai luaran ‘street mall’ (berkonsep terbuka) 220 unit.

“Dengan keseluruhan lot untuk peniaga adalah berjumlah 473 bilangan unit, ini menjadikan Pasar Awam dan Kompleks  Penjaja Seberang Jaya adalah antara yang paling besar di Malaysia,” ujar beliau yang Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Dalam pada itu, Rosli memberitahu, PDC akan mengeluarkan Surat Penyataan Hasrat (RFP) bagi projek itu dalam tempoh tiga bulan, dijangka mulai hujung bulan depan (Mei).

“RFP mungkin dalam tempoh dua hingga tiga bulan, sekarang kita (PDC) tengah buat persiapan dan mungkin akan panggil hujung bulan depan.

“Apa yang kita (PDC) tunjuk ini adalah garis panduan dan konsep umum projek rancangan ini,” jelasnya kepada wartawan.