ZIARAH… Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada 29 Oktober lalu menziarahi rumah mangsa yang maut dipercayai selepas jatuh dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (JSAHMS).
Di sana, beliau menzahirkan ucapan takziah serta memberi sejumlah sumbangan kepada balu arwah.
Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukti Mertajam) turut menyertai majlis ziarah tersebut.
Balu yang enggan identitinya dikenali melahirkan rasa kesal kerana akhbar arus perdana tertentu melaporkan secara tidak beretika mengenai arwah suami beliau.
Pada 26 Oktober lalu, anggota bomba dan penyelamat menemui mayat, Allahyarham Mohd. Sukri Saad, 38, dipercayai mati lemas selepas jatuh dari JSAHMS sehari sebelum itu.
Pasukan peronda JSAHMS sehari sebelum itu (25 Oktober 2016) menemui sebuah motosikal jenis Modenas serta telefon bimbit yang ditinggalkan di tepi jalan jambatan berkenaan dipercayai milik arwah.
Malah, arwah juga dipercayai sempat memuat naik status di laman sosial Facebook dan meluahkan rasa tertekan kerana berhadapan dakwaan memiliki rokok seludup, sebelum ia kemudiannya menjadi viral.