KN akan terus beri khidmat terbaik kepada rakyat

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : CHAN LILIAN

 

SERI DELIMA – Kerajaan Negeri akan terus komited meningkatkan kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan membabitkan perkhidmatan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan usia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina yang diadakan di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Island Park di sini baru-baru ini.

“Kini, perayaan Tahun Baru Cina bukan sahaja disambut oleh masyarakat Tionghua, tetapi juga seluruh masyarakat sama ada Melayu mahupun India.

“Keharmonian inilah yang harus disanjung dan sebagai sebuah negeri, Kerajaan Negeri pastinya akan melakukan yang terbaik untuk rakyat Pulau Pinang,” katanya di hadapan kira-kira 500 tetamu yang hadir.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan ADUN Padang Kota yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Bersempena sambutan tersebut, sejumlah 300 tanglung berwarna merah dinyalakan penduduk di Island Park sebagai simbolik tuah, keteguhan, keberanian dan kemegahan.}