KN beri sokongan polis siasat kes balingan bahan letupan

BUKIT TENGAH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng melawat Balai Polis Bukit Tengah bagi mendapatkan maklum balas lanjut berhubung insiden balingan bahan letupan di sini baru-baru ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) tentulah akan memberi sokongan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat kerana insiden seumpama ini pertama kali berlaku di negeri ini,” ujarnya kepada media pada sesi lawatan khas berkenaan.

Guan Eng yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner (ACP) Nasir Salleh dan ACP Azman Abd. Lah (Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah).

Hadir sama, Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Ng Wei Aik (Setiausaha Politik bagi Ketua Menteri), P. Kasthuriraani (Ahli Parlimen Batu Kawan) dan Ong Chin Wen (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Bukit Tengah).

Bercakap pada sidang media sama, Nasir berkata, pihaknya masih belum mempunyai sebarang petunjuk berhubung kes terbaru itu.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis akan meneruskan siasatan serta menggandakan kawalan keselamatan di kawasan-kawasan berwajib demi mengekalkan ketenteraman di negeri ini.

“Kita berharap orang awam tampil jika ada maklumat kerana kita tidak boleh menahan mana-mana pihak tanpa sebab.

“Ini kes jenayah terpencil…tiada kaitan dengan (balingan bahan letupan buat sendiri) ‘molotov cocktail’ di gereja (dekat Jalan Farquhar, George Town) sebelum ini,” jelas beliau.

Semalam, beberapa suspek tidak dikenali sekitar jam 4.20 pagi bertindak membaling bahan letupan jenis mercun ke perkarangan Balai Polis Bukit Tengah.

Bagaimanapun, empat anggota polis yang bertugas tidak tercedera dek perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut.