GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang membina bangunan komersial bernilai RM40 juta sebagai pusat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Taman Perindustrian Bayan Lepas.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pusat tekno usahawan berkenaan disediakan boleh disewa dengan harga yang lebih rendah oleh penggiat PKS yang layak, inovatif serta berdaya saing demi mengkayakan sektor perkhidmatan dan pembuatan peringkat negeri.
“Kita beri dua tahun minimum untuk mereka memulakan projek, saya fikir dua tahun adalah peluang yang munasabah untuk membantu tekno usahawan.
“Kalau masih tak berjaya dalam tempoh itu, kita buka peluang itu kepada orang lain yang lebih layak dan bersedia untuk bersaing secara adil dan saksama,” ujarnya baru-baru ini di Komtar.
Di atas tanah seluas 160,000 kaki persegi, beliau berkata, mereka yang dipilih akan dijana kepakaran oleh tekno usahawan berjaya dan berwibawa.
Menurut beliau, pusat itu akan diuruskan oleh Majlis Pengurusan Pusat PKS yang dianggotai oleh usahawan mentor Majlis Sains Pulau Pinang, InvestPenang dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sendiri.
Ujarnya lagi, Penasihat Pemasaran PKS dan Pusat Sumber dan Latihan (Smart) yang dilancarkan pada Jun tahun lepas akan melengkapkan insiatif terbaru Kerajaan Negeri ini.
Kira-kira 1,000 peserta menyertai PKS dan 209 PKS disenaraikan di bawah talian Smart. Mereka yang bekenaan diberi kepakaran oleh usahawan-usahawan terbukti berjaya.
“Kemakmuran masa depan Pulau Pinang terletak pada keupayaan generasi akan datang yang memerlukan kedua-dua iaitu usahawan dan reka cipta,” ujarnya.