KN iktiraf pelajar cemerlang, harap kembali berbakti

GEORGE TOWN – Saban tahun, Kerajaan Negeri bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada pelajar-pelajar cemerlang, tetapi juga sentiasa menyediakan peluang saksama untuk semua bagi memastikan semua orang merealisasikan potensi masing-masing.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2014 di Kompleks Masyarakat Penyayang di sini baru-baru ini.

Berlandaskan itu, katanya, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif khas menubuhkan Penang Future Foundation (PFF) iaitu program biasiswa ditawarkan kepada pelajar cemerlang yang layak dan berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di universiti tempatan.

“Selain itu, kita (Kerajaan Negeri) juga meyediakan pelbagai peluang dalam pelbagai bidang demi merealisasikan impian Pulau
Pinang ke arah sebuah negeri yang lestari, pintar dan bertaraf antarabangsa.

“Inilah buktinya Kerajaan Negeri sayang sama rakyat,” ujar beliau sambil menyeru supaya golongan muda terutamanya pelajar cemerlang supaya kembali berbakti di Pulau Pinang.

Pada majlis berkaitan, seramai 36 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang A+ bagi semua mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2014 diraikan. Mereka adalah sebahagian daripada 402 pelajar lain yang memperoleh keputusan cemerlang, kombinasi A+, A dan A-.

Semua pelajar cemerlang terbabit menerima sijil pengiktirafan, trofi dan saguhati berupakan wang tunai.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy selaku Exco Pendidikan.

Terdahulu, majlis serupa turut diadakan bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang 56 pelajar-pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun 2014.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Chong Eng (Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti), Wong Hon Wai (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam), Lim Siew Khim (ADUN Sungai Pinang), Setiausaha Kerajan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

Bagi penerima Anugerah Pelajar Cemerlang SPM, Izyan Athirah Mazalani dan Wahi Azalie Shabuddin, masing-masing 18, dari Sekolah Menengah (SM) Sains Tun Syed Sheh Shahabuddin, mereka tidak menyangka akan memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran.

“Disiplin dan kerap berbincang dengan rakan sebaya dan guru-guru menjadi resipi kejayaan kami di samping perlu tahu  konsep belajar secara bijak.

“InshaAllah, kami berdua memang berhasrat untuk menceburi bidang perubatan dan kembali berbakti di Pulau Pinang suatu hari kelak,” kata Wahi Azalie yang kini menuntut di Kolej Mara Kulim.

Penerima Anugerah Pelajar Cemerlang (Kategori Khas) SPM, Muhammad Faisal Ahmad Fadzil, 18, beliau berhasrat menjadi akauntan bertauliah suatu hari kelak.

“Syukur sangat, walaupun hanya memperoleh 5A, saya tetap bertekad untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perbankan dan menjadi akauntan bertauliah suatu hari nanti.

“Orang macam saya ni kenalah kuat semangat dan jangan jadikan kecacatan itu sebagai penghalang untuk tidak berjaya dan menjadi insan berguna,” katanya yang mengalami masalah penglihatan sejak lahir kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Perasaan sama turut dikongsi oleh dua sahabat baik yang cacat penglihatan, Crystal Neoh Xin Er dan Chew Sui Teng, masing-masing  18.

“Guru dan dorongan ibu bapa menjadi pegangan untuk terus berjaya,” kata Xin Er yang memperoleh 7A+, 1A dan 1A- dalam peperiksaan SPM baru-baru ini.

Dalam pada itu, bagi penerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM (Kategori Melayu), Siti Fatimah Azaharah Abdul Hamid dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penang Free melahirkan rasa syukur dan berhasrat untuk pulang ke Pulau Pinang setelah tamat pengajian kelak.

“Saya berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan di Universiti Malaya dan akan balik berbakti di Pulau Pinang seperti seruan Y.A.B. Ketua Menteri supaya pulang ke Pulau Pinang menabur bakti,” katanya yang hadir bersama ibunya, Bu Rejab, 62.

Dua sahabat baik yang turut menerima Anugerah Pelajar Cemerlang STPM dari SMK Seri Balik Pulau, Zarif Zahirah Mohd. Elias dan Muhamad Azri Ahmad, masing-masing 19, turut melahirkan hasrat untuk kembali berbakti ke Pulau Pinang.

“Teruja, syukur sangat dan rasa cukup bermotivasi dengan kata-kata Y.A.B. Ketua Menteri tadi, inshaAllah, kami akan kembali ke Pulau Pinang nanti,” kata Muhamad Azri yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan sambil dipersetujui oleh Zarif Zahirah yang berhasrat menjadi peguam suatu hari kelak.

Pada majlis sama, tiga sekolah turut diumumkan sebagai Sekolah Terbaik SPM 2014 iaitu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin, Bukit Mertajam, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas dan SMJK Perempuan Cina.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);