KN kekal pulihara bangunan warisan BPR Pulau Pinang

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

KETUA Menteri cuba mendapatkan penjelasan daripada salah seorang pakar bangunan yang turut serta dalam lawatan beliau ke Bangunan Warisan Badan Pencegah Rasuah Pulau Pinang di Lebuh Pantai di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri cuba mendapatkan penjelasan daripada salah seorang pakar bangunan yang turut serta dalam lawatan beliau ke Bangunan Warisan Badan Pencegah Rasuah Pulau Pinang di Lebuh Pantai di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Bangunan Warisan Badan Pencegah Rasuah Pulau Pinang (BPR) tidak akan dirobohkan selari dengan status “George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO”.

Ketua Menteri Pulau Pinang baru-baru ini membuat pendirian sedemikian selepas mengadakan perbincangan bersama-sama pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di negeri berkenaan serta melawat bangunan berusia lebih 100 tahun tersebut di Lebuh Pantai, di sini.

“Keputusan awal yang dibuat oleh Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) dan saya adalah betul, iaitu kita kekalkan bangunan itu dan tidak akan membenarkan ia dirobohkan,” ujarnya dalam satu sidang media selepas selesainya sesi lawatan di sini baru- baru ini.

Beliau berkata, usaha pemuliharaan dan pemeliharaan mesti dilakukan ke atas fizikal bangunan tersebut, termasuk tangga kayu utama berusia lebih 100 tahun yang diperbuat daripada balak jenis jati.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membantu SPRM untuk memulihara semula bangunan warisan ketegori ke-2 tersebut dengan memohon peruntukan daripada kerajaan pusat memandangkan bangunan ini adalah milik kerajaan pusat,” ujarnya.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut dan Keretapi) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Lim Hock Seng.

Cadangan merobohkan Bangunan Badan Pencegah Rasuah Pulau Pinang tersebut dicetuskan oleh SPRM Pulau Pinang sendiri bagi memudahkan proses pembinaan quaters staf suruhanjaya itu di satu tapak bersebelahan bangunan berkenaan.