KN komited kurang kadar kemalangan jalan raya

Teks & Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

TANJUNG BUNGAH – Bagi mewujudkan ekosistem yang mementingkan keselamatan jalan raya, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menganjurkan Bengkel Implementasi Strategi Keselamatan Jalan Raya Pulau Pinang kali kedua di sini baru-baru ini.

Penganjuran oleh Unit Pengurusan Lalu Lintas, Bahagian Kerajaan Tempatan itu bertujuan memdapatkan idea-idea baru yang boleh diimplementasikan bagi mengurangkan indeks kematian jalan raya di negeri ini.

Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air & Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut & Kereta Api), Lim Hock Seng semasa merasmikan upacara penutupan bengkel itu berkata, bengkel tersebut merupakan lanjutan daripada bengkel pertama yang diadakan April lalu.

“Pada bengkel pertama sebelum ini, peserta terlibat telah mengenalpasti semua masalah berkaitan keselamatan jalan raya yang dipercayai kritikal di Pulau Pinang.

“Daripada perbincangan dan diskusi ketika penganjuran bengkel pertama, kesemua peserta telah bersetuju untuk memberi tumpuan terhadap empat komponen utama iaitu sumber data kemalangan, perubahan sikap, jalan raya yang selamat dan motosikal selamat,” katanya di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey dan ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin.

Tambah Hock Seng, para peserta yang terlibat adalah membabitkan beberapa agensi secara langsung dengan keselamatan jalan raya seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

“Penglibatan agensi-agensi ini sekaligus dapat memperincikan kaedah pelaksanaan berserta kos terlibat dan siapa yang akan menjadi penggerak kepada setiap aktiviti dibincangkan.

“Ini secara tidak langsung dapat melicinkan implementasi komponenkomponen yang telah dikenalpasti pada masa akan datang,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa para peserta bersetuju menjalankan kajian perintis di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Pulau Tikus, DUN Penanti dan DUN Berapit.

“Hasil kajian berkaitan pengumpulan data kemalangan jalan raya di tiga DUN ini akan dibentangkan dan mencari kaedah penyelesaian terhadap punca serta kesan kemalangan tersebut yang kemudian bakal disalurkan kepada agensi terlibat untuk tindakan pembetulan dan pemantauan,” ujarnya.