KN pandang serius pembangunan rumah mampu milik

PROGRAM Jelajah Misi Pemilikan Rumah Mampu-Milik Pulau Pinang.

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

DATUK KERAMAT – Kerajaan Negeri sentiasa peka dengan keperluan rakyat Pulau Pinang untuk memiliki kediaman sendiri terutama mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana rendah di negeri ini.

Oleh demikian, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk mewujudkan suatu ekosistem perumahan yang tidak membebankan rakyat, sebaliknya mampu dimiliki melalui pelbagai usahasama dengan pemaju swasta.

Menurut Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, sehingga kini, melalui kerjasama kerajaan dan pihak pemaju swasta (public – private partnerships), Kerajaan Negeri telah berjaya merealisasikan impian berkaitan.

“Sebagai contoh, projek Chelliah Park City yang menawarkan sejumlah 1,323 unit rumah mampu milik pelbagai kos (mengikut keluasan)  adalah hasil usahasama Kerajaan Negeri melalui PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) dan pemaju swasta Zubicon Sdn. Bhd..

“Malah, ada juga pemaju swasta yang menawarkan 100 peratus rumah mampu milik demi memenuhi permintaan rakyat, antaranya projek One Foresta di Bayan Baru, projek Tri Pinnacle di Tanjung Tokong, Arasia Perdana (The Clovers) di Sungai Ara dan projek Ramah Pavilion di Teluk Kumbar.

“ Proses permohonan bagi kesemua projek ini sedang giat dijalankan sama ada di pejabat – pejabat pemaju ataupun melalui ‘roadshow‘ Program Mission Home Possible seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Selain itu, beliau turut mengumumkan senarai 10 projek perumahan paling popular di Pulau Pinang sepanjang Januari 2015 berdasarkan minat dan jumlah pemohon seperti yang diwarwarkan dalam laman sesawang, penangpropertytalk.com.

“Empat daripada projek yang tersenarai (dalam senarai ini) adalah projek perumahan yang telah saya umumkan baru-baru ini dan ia tersenarai dalam kedudukan empat teratas dengan Tri Pinnacle menduduki tangga pertama, diikuti, One Foresta, Chelliah Park City dan Ramah Pavillion.

“Senarai ini sekali lagi membuktikan bahawa Kerajaan Negeri memandang serius pembangunan rumah mampu milik, tidak seperti PR1MA (Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia) yang masih ‘dinanti-nantikan’ sejak tahun 2012,” ujar beliau.

Dalam pada itu, pada majlis sama, Jagdeep turut menyampaikan sumbangan alat bantuan penglihatan Candy 4HD kepada Norhikmah Mohd. Helmy, 11, yang mengalami masalah penglihatan sejak lahir.

Candy 4HD yang berharga RM2,000 adalah sejenis alat yang bertindak sebagai kanta pembesar elektronik bagi membantu golongan yang mengalami penglihatan terhad membaca.