Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
PULAU TIKUS – Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) akan terus mendapatkan maklum balas mengenai percubaan menguatkuasa cadangan jalan sehala bagi menyelesaikan kesesakan trafik dari Jalan Kelawei ke Bagan Jermal, di sini.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya turut berusaha menyelesaikan isu parkir terhad, kemalangan serta penguatkuasaan setempat yang menjadi masalah malar segar di sini.
“Saya berjanji, pihak kami akan melakukan keputusan yang terbaik dalam menilai isu-isu berbangkit dan menyeru semua pengguna buat masa ini ikut semua arahan pihak berkuasa (MPPP) dan papan tanda yang disediakan demi keselamatan semua,” ujar beliau sejurus selesai sesi dialog bersama komuniti Pulau Tikus di sini baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Yap Soo Huey, Cheah Kah Peng (ADUN Kebun Bunga), Zairil Khir Johari (Ahli Parlimen Bukit Bendera) turut menjadi panelis dalam interaksi bersamasama hampir 500 penduduk setempat.
Hadir bersama, Pengarah Kejuruteraan MPPP, Ir. A.Rajendran. Bercakap pada majlis sama, Rajendran berkata, cadangan mewujudkan laluan sehala di jalan-jalan tersebut masih dalam tempoh percubaan, iaitu dari 27 Julai hingga 27 Oktober ini.
“Penduduk juga harus faham, walaupun papan tanda sudah dinaikkan ini, tidak bermakna ianya adalah secara kekal, ianya masih boleh diubah demi kebaikan bersama dalam tempoh kajian ini.
“Selepas ini, pihak saya akan mengkaji secara menyeluruh idea-idea dan gesaan yang dikemukakan oleh penduduk-penduduk di sini,” ujar beliau selepas mendengar keluhan 26 responden yang tampil ke depan untuk berdialog.
Beliau turut menasihatkan pihak tertentu supaya tidak mengeruhkan suasana setempat, ekoran dari inisiatif terbaru pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.