KN, polis, komuniti perlu interaksi cegah jenayah – KM

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI BAKAP – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng bersama-sama Datuk Abdul Rahim Hanafi (Ketua Polis Negeri) baru-baru ini mengadakan interaksi dua hala dengan komuniti Daerah Seberang Perai Selatan di sini.

Majlis bersejarah itu sebagai reaksi pada beberapa insiden tembak-menembak belakangan ini hatta mencederakan serta menggugat keyakinan awam.

Semasa berucap, Guan Eng sekali lagi menawarkan sumber Kerajaan Negeri bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi mengekalkan rekod Pulau Pinang sebagai salah sebuah negeri paling selamat di negara ini.

“Kerajaan Negeri memahami (mengenai) kekurangan anggota dan sumber yang mungkin dihadapi oleh polis dalam usaha membanteras jenayah sekarang.

“Demi mengembalikan semula keyakinan rakyat bahawa negeri ini selamat, Kerajaan Negeri akan terus berkerjasama dengan polis bagi menghadapi penjenayah,” tegas beliau di depan hampir 200 masyarakat setempat.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Datuk Law Choo Kiang, Maktar Shapee (Timbalan Speaker DUN merangkap ADUN Sungai Bakap), Soon Lip Chee (ADUN Jawi), Kasthuri Patto(Ahli Parlimen Batu Kawan), Datuk Mansor Othman (Ahli Parlimen Nibong Tebal) antara pimpinan negeri yang hadir pada majlis tersebut.

Guan Eng berkata, pihaknya berharap Pasukan Peronda Sukarela (PPS) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) turut memberi komitmen untuk saling berkerjasama dengan pihak polis di kawasan masing-masing.

Abdul Halim yang baru dilantik sebagai Ketua Polis Negeri dalam reaksi spontan berkata, pihaknya senantiasa komited dalam memastikan negeri ini selamat dan aman.

Atas sebab itu, beliau berkata, orang awam seharusnya tidak memandang serong terhadap operasi pemeriksaan trafik di beberapa lokasi strategik belakangan ini demi memburu beberapa lagi suspek penjenayah.

“Sebagai pasukan yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan rakyat di negeri ini, tidak ada tolak ansur dengan aktiviti jenayah, sama ada kecil atau besar,” tegas beliau disambut tepukan gemuruh oleh hadirin.

Beliau berkata, pihaknya berharap interaksi langsung bersama rakyat akan dilaksanakan lagi di daerah-daerah lain demi memastikan keselamatan dan keamanan negeri terus menjadi agenda utama bersama.