KN, rakyat kuasai kepentingan LRT selepas siap, bukan swasta – Exco

GEORGE TOWN – Hasil tambakan laut untuk membiayai kos pemajuan transit aliran ringan (LRT) dari Komtar ke Bayan Lepas serta lebuh raya dari pulau merentasi laut ke Seberang Perai akan memastikan Kerajaan Negeri memiliki kepentingan atas pengangkutan awam tersebut, bukannya pihak swasta.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu, kedua-dua projek utama di bawah Pelan Induk Pengangkutan (PIP) tersebut akan diserahkan kembali kepada Kerajaan Negeri, selepas siap dimajukan oleh Konsortium SRS selaku rakan pelaksana projek (PDP) nanti.

“Pengangkutan (awam) adalah suatu keperluan sosial…kalau operasi tiada rugipun, itu sudah baik.

“Dalam kes ini, capital investment datang daripada Kerajaan Negeri melalui tambakan laut, ertinya ia (tanah yang ditebus guna ini) dimiliki oleh kerajaan dan rakyat.

“Jangan bimbang sekiranya penjualan tiket-tiket (LRT) untuk membiayai (kos pemajuan) RM6 bilion itu tidak mencukupi, kerana ia sudah ditanggung oleh Kerajaan Negeri melalui tambakan laut itu.

“Inilah tujuan mengapa tambakan laut diperlukan, kerana kita milik sistem (LRT) itu,” jelasnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Penjelasan itu sekaligus menolak dakwaan pembangkang Pulau Pinang yang bahawa kerja-kerja tambakan laut di negeri ini adalah lebih merugikan rakyat serta menguntungkan pemaju swasta terbabit.

“Kerajaan Negeri menjadi pemilik tanah-tanah yang ditambak itu, bukan seperti kontraktor dulu-dulu apabila memeterai satusatu perjanjian,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Difahamkan, Kerajaan Negeri era Barisan Nasional (BN) pada tahun 1999 pernah meluluskan projek tambakan laut seluas 940 ekar di Tanjung Pinang dengan harga serendah RM1 sekaki persegi kepada satu pihak sahaja, berserta syarat hanya 10 peratus tanah tebus guna tersebut diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

Sebelum itu, Kon Yeow bersama-sama Pengarah Projek PIP dari Konsortium SRS, Szeto Wai Long membentangkan kajian terperinci serta status pelaksanaan PIP yang terbaru, selepas mendapat ‘lampu hijau’ Kerajaan Negeri pada 21 Oktober tahun lalu.

Untuk projek pemajuan LRT, Wai Long memberitahu bahawa pihaknya merancang untuk menyempurnakan hasil Kajian Terperinci Impak Alam Sekitar (DEIA) dan Kajian Terperinci Impak Pembangunan (DID) serta Penilaian Impak Sosial (SIA) dalam tempoh enam bulan, lalu menyerahkan laporan berwajib kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada hujung bulan Jun tahun ini.

Beliau dalam pada itu turut menjelaskan mengenai status firma perunding bagi projek pemajuan LRT serta cadangan tebus guna tanah berwajib.

} else {