KN ringan beban mangsa kebakaran

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

KUBANG SEMANG – Nasib empat mangsa kebakaran di Perkampungan Kubang Semang di sini memperoleh perhatian Kerajaan Negeri yang tampil menghulurkan sumbangan kilat baru-baru ini.

Setiap keluarga yang dipercayai tinggal sehelai sepinggan menerima bantuan sumbangan bernilai RM1,000 melalui Tabung Bencana Kerajaan Negeri.

Sebagai tambahan, keluarga-keluarga berkenaan juga bakal menerima sumbangan bantuan daripada Tabung Bencana TYT (Tuan Yang Terutama) setelah taksiran kerugian dijalankan.

Malah, dalam tempoh sebulan kini, mangsa-mangsa turut ditempatkan di rumah sewa sementara menggunakan peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man.

Hadir menyempurnakan majlis penyampaian berkenaan ialah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Turut hadir, Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Mohd. Salleh dan Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Jusni Ismail.

Salah seorang mangsa, Zasmy Abdullah, 49, ketika ditemui berkata, insiden tersebut menyebabkan beliau kerugian kira-kira RM71,000 kerana api marak dengan cepat.

“Saya bersyukur dengan bantuan yang diberikan. Sekurang-kurangnya wang tersebut boleh diguna untuk membeli barangan kelengkapan sekolah anak-anak,’’ katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.